#KitaJagaKita

Covid-19: Jangan Pandang Ringan Masalah Obesiti

88fbaf505e2c452308d94e4ba975a169

Kini hampir setahun tujuh bulan kita masih lagi bergelut dalam melawan pandemik Covid-19 di Malaysia. Kes dalam masa beberapa minggu ini masih lagi berada dalam sekitar 20 000 kes dan kadar kematian masih lagi mencatatkan angka ratusan.

Walaubagaimanapun, terbit sinar harapan apabila keadaan terkini terutama di kawasan Lembah Klang menunjukkan penurunan kemasukan kes ke ICU dan kebanyakan pesakit COVID-19 berada di kategori di tahap 1 atau 2.

Rakyat Malaysia juga mengharapkan dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan kepatuhan rakyat Malaysia kepada SOP yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) mampu menurunkan lagi kes kadar kematian dan morbiditi terhadap pesakit Covid-19.

Pesakit yang mengalami obesity sebagai komorbiditi antara penyumbang kepada angka kematian yang tinggi akibat jangkitan COVID-19 serta proses rawatan untuk pesakit obes di ICU adalah lebih sukar akibat berat badan berlebihan.  Seseorang dikategorikan sebagai mempunyai berat badan apabila BMI melebihi bacaan 25kg/m2 dan jika BMI melebihi 30kg/m2, individu tersebut adalah obes.

Berdasarkan kajian yang dijalankan Obesity Review, mereka yang mempunyai masalah obesiti mempunyai kecenderungan sebanyak 113% untuk dimasukkan ke hospital, 74% dimasukkan ke ICU dan 48% kadar kematian berbanding dengan mereka yang mempunyai BMI yang normal. Jika di Amerika Syarikat, 900,000 pesakit yang dimasukkan sejak permulaan pandemik sehingga November 2020, 30% daripadanya mempunyai masalah obesiti.

 

MENGAPA PESAKIT COVID-19 DENGAN OBESITI BERISIKO TINGGI

Ini disebabkan  lemak dalam badan menyukarkan pergerakan otot pernafasan, menghalang kemampuan untuk paru-paru mengembang lalu menyukarkan proses penggantian oksigen dan karbon dioksida di peparu.

Tambahan lagi, obesiti menyebabkan kecenderungan dalam penggumpalan darah dan Covid-19 turut meningkatkan risiko darah beku terbentuk.

Selain itu, sistem imuniti badan juga menjadi lemah dan kurang efektif disebabkan tisu lemak menyelaputi tisu limpa, tulang sum-sum, thymus yang mengeluarkan sel imuniti badan.

Akhir sekali, keradangan kronik dalam badan oleh obesiti menjadi teruk dengan jangkitan virus ini.

OBESITI DI MALAYSIA

Malaysia merupakan juara obesiti di Asia Tenggara. Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh World Population Review 2019, Malaysia merupakan negara yang mempunyai prevalen tertinggi dengan 15.9 peratus diikuti oleh Brunei dan Thailand.

Laporan dari Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019, 30.4% populasi dewasa mempunyai berat berlebihan dan 19.7% adalah obes dengan kenaikan dari tahun sebelumnya.

Perintah Kawalan Pergerakan menyukarkan pengambilan makanan sihat dan menyekat aktiviti riadah lalu menjadi cabaran tersendiri bagi pesakit yang menyumbang kepada peningkatan berat badan secara berlebihan dan obesity.

BELUM BOLEH LEKA

Sekarang negara sedang berhadapan dengan Variant Of Concern(VOC) seperti Varian Delta yang mana kadar jangkitannya 2 kali ganda lebih pantas dan mampu merebak dalam masa 15 saat di ruang yang tertutup.

Mereka yang menghidap varian ini pula mempunyai gejala yang teruk terutama pada orang muda, lebih-lebih lagi mereka yang tidak sempat divaksin dan mempunyai obesiti walaupun tidak menghidap sebarang penyakit lain.

Pengalaman penulis sendiri sepanjang menjaga Pusat Kuarantin, sudah beberapa kali kami merujuk ke Hospital mereka yang mempunyai masalah obesity. Jangkitan Covid-19 mereka ibarat bom jangka di mana ia boleh berubah dari tahap 2 menjadi tahap 4 (pesakit menghadapi keradangan peparu, jangkitan pneumonia dan memerlukan bantuan pernafasan) pada bila-bila masa.

Kita mengharapkan agar tiada kemasukan VOC lain seperti Delta Plus dan Lambda yang kini menjadi igauan di beberapa negara lain. Jadi belum masanya kita leka.

Ambil peluang dalam keterbatasan pergerakan untuk tetap menjaga kesihatan. Memilih makanan yang berkhasiat, mengamalkan diet suku-suku-separuh dan terus kekal aktif dirumah dengan melakukan senaman dan regangan untuk membakar kalori.

Negara sekarang sudah bertukar status kepada Pelan Pemulihan Negara yang mana semua fasa membenarkan untuk kita keluar beriadah dengan SOP yang tertentu. Ambillah peluang ini untuk mendapatkan BMI yang ideal. Rancang penurunan berat badan dan berdisiplin dalam pengamalannya.

Amalan mencegah lebih baik daripada mengubati adalah sebahagian daripada Islam. Kisah Umar Al Khattab yang melarang sahabat daripada mempunyai perut boroi dan juga saranan dari hadis Nabi Muhammad saw dalam menjadi mukmin yang sihat harus kita insafi.

Islam mengambil asbab dan musabab dalam setiap perkara termasuklah dalam penyakit Covid-19. Pastikan anda mengambil dos penuh vaksin Covid-19 sebagai Langkah pencegahan disamping menjaga pemakanan, kerap bersenam, dan teruskan pengamalan SOP supaya kita tidak menjadi punca jangkitan Covid-19 kepada orang lain.

Tanggungjawab mencegah penyakit berjangkit adalah tanggungjawab kita bersama. Semoga kita saling berpesan-pesan kepada kebaikan dan kesihatan.

Dr Indra Putra bin Asrar
Aktivis I-Medik Selangor
Pegawai Perubatan PKRC UNI Klinik

Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on whatsapp