Doktor Jamban

“Apa? Mereka panggil Chief dengan panggilan Doktor Jamban?”

“Ya, Doktor. Dulu kerja kami adalah untuk memberikan pendidikan kesihatan dan penekanan pembinaan jamban curah yang sistematik dan teratur. Sebab itulah mereka gelar kami ini doktor jamban.”

Begitulah antara kisah yang dapat saya cungkil apabila bersama para Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP) atau Pegawai Kesihatan Persekitaran (PKP) di Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching.

Pernahkah anda mendengar jawatan ‘merinyu kesihatan’ atau ‘inspektor kesihatan’ atau PPKP?

Mereka ini adalah tulang belakang dalam sektor kesihatan. Selalu apabila kita bercerita atau berbual berkenaan kesihatan dan perubatan kita selalu membayangkan hospital dan klinik. Jika orang yang terlibat pula adalah doktor, misi berbaju putih bertopi atau line riben berwarna biru, merah jambu, kuning ataupun melihat para dressar atau MA mahupun pegawai farmasi. Jarang untuk kita mengetahui bahawasanya terdapat satu lagi entiti yang penting dalam aspek kesihatan ini.

Inspektor Kesihatan / Health Inspector

Semasa saya bersekolah dahulu, nama jawatan ini saya kenali apabila seorang rakan sekelas daripada Jeli Kelantan mempunyai ayah yang berkhidmat sebagai inspektor kesihatan. Singkatan yang selalu didengar adalah IK atau HI.

Daripada gelaran merinyu kesihatan kepada inspector kesihatan dan pada 1999 jawatan ini dinamakan kepada Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran.

Tugas Dan Tanggungjawab Yang Besar

Aspek kesihatan ini luas seperti definisi sihat itu sendiri merujuk kepada satu tahap atau keadaan di mana seseorang individu itu mempunyai kesejahteraan yang sempurna dari segi fizikal, mental dan sosial dan bukan semata-mata bebas dari penyakit atau tidak berdaya.

Oleh itu, para PPKP ini berkhidmat keseluruh pelusuk kehidupan. Mengawal penularan penyakit berjangkit sehingga memastikan penyakit tidak berjangkit semakin parah dalam masyarakat. Tugas mereka sehingga mencari ke mana menghilang pesakit yang tidak meneruskan rawatan tuberkulosi/hiv atau lain-lain kes penyakit berjangkit. Sehinggakan tatkala meninggal pesakit HIV, mereka juga yang akan membantu dalam menyempurnakan mayat.

Makanan yang kita makan sehari-hari juga diperiksa setibanya daripada perlabuhan antarabangsa ataupun lapangan terbang antarabangsa. Kebersihan premis dan juga seluruh tahap keselamatan dan kebersihan makanan di seluruh negara diselia oleh mereka serta Pegawai Teknologi Makanan.

Tatkala nyamuk mula menyerang kawasan perumahan kita, maka mereka jugalah yang akan hadir menyiasat, serta mengenalpasti punca pembiakan nyamuk. Awas, jika anda adalah penternak bagi nyamuk-nyamuk vektor, anda boleh dikenakan kompaun oleh mereka ini. Mereka adalah pegawai yang diberikan kuasa untuk menjalankan perihal ini. Bukan sahaja penternak nyamuk, merokok dikawasan larangan juga adalah salah satu tindakan yang boleh dikompaun oleh para PPKP ini.

Sebelum berlakunya bencana seperti banjir, para PPKP ini adalah insan yang memastikan semua pusat penempatan banjir adalah selamat, bersih serta bebas daripada hazards. Tatkala menghantar anak ke taska atau pusat asuhan mahupun tadika, para PPKP ini akan sentiasa memastikan premis dan pengusaha telah diberikan taklimat serta kawasan operasi telah diperiksa untuk keselamatan dan kesihatan anak kita.

Mempromosikan kesihatan, membantu para penduduk untuk memastikan kawasan perumahan bersih sehinggakan seperti urusan bilik air juga dilihat oleh mereka ini. Kualiti air yang kita gunakan dengan hanya memulas paip itu juga dikawal selia oleh mereka. Jika ketidakcukupan klorin, terdapat mikroorganisme atau apa sahaja perkara yang boleh menyebabkan peluang penyakit bawaan air atau makanan juga adalah tanggungjawab mereka ini.

Fuh, bukan sedikit tugasan mreka ini! Para Doktor, jururawat, para penolong pegawai perubatan, pengawai farmasi, juru x-ray, atau apa sahaja tugasan yang melihat seorang pesakit satu demi satu. Bagi para PPKP, mereka melihat masyarakat dan berusaha bagi masyarakat dapat hidup harmoni dan sejahtera dengan memastikan setiap tanggungjawab dijalankan dengan baik. Bak kata perpatah “mencegah lebih baik daripada merawati”. Oleh itu, mereka inilah pejuang yang jarang didendang dalam memastikan kesejahteraan hidup kita di negara yang kita cintai ini.

Semoga Allah sentiasa melimpah keberkatan atas segala penat lelah dan pengorbanan mereka iaitu para PPKP dan PKP telah jalankan di Malaysia ini. Semoga mereka terus bersemangat untuk menjalankan tugas lantas terus maju jaya dalam profesion mereka.

Sekian.

Dr Muhamad Danial bin Salim
Pegawai Perubatan
Unit Kawalan Penyakit Berjangkit
Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching

Leave a Comment