Doktor perlu cekap tangani stres di tempat kerja

Fenomena doktor pelatih gagal menghabiskan latihan selama dua tahun semakin membarah di Malaysia, di mana seorang daripada lima orang pelatih dilaporkan berhenti pada setiap tahun. Tekanan emosi dan psikologi didapati sebagai antara penyumbang kepada masalah tersebut.

Menyedari realiti keadaan stress yang dialami oleh para doktor di Malaysia, Persatuan I-Medik Kelantan, dengan kerjasama Persatuan Sains Perubatan USM (MedSoc) telah mengorak langkah menganjurkan kursus pengurusan stres pada hari Sabtu, 21 November, 2015. Bertemakan ‘Stay Calm & Conquer Your Stress’, kursus setengah hari ini bertempat di Bilik Taklimat, Blok Pembelajaran dan Sumber Pelajar (BPSP), Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan dan dihadiri oleh 55 orang peserta daripada kalangan pelajar perubatan dan pegawai perubatan siswazah.

Antara objektif kursus ini diadakan ialah untuk memberi kesedaran kepada para peserta tentang realiti alam pekerjaan yang boleh memberi kesan kepada psikologi dan emosi mereka. Selain itu, kursus ini juga bertujuan untuk berkongsi secara praktikal teknik- teknik pengurusan stress yang berkesan.

slot 1

Slot pertama diterajui oleh Dr Fariza Yahya, pakar perunding psikiatri, Ketua Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Kuala Krai yang membawakan tajuk ‘ Psychiatrist in the House’. Sesi  pertama ini telah memberi gambaran keseluruhan tentang keadaan stress yang dialami oleh para pegawai perubatan, dari segi tanda dan gejala dan perkara- perkara yang menyumbang kepadanya. Hal ini amat penting  untuk difahami, kerana apabila sumber kepada masalah stres  dapat dikenalpasti, cara untuk menangani dan mengurangkannya akan menjadi lebih mudah. Dr Fariza juga berkongsi sedikit sebanyak tips untuk mengelak dan mengurangkan stress daripada pengalamannya sendiri sebagai pegawai perubatan.

slot 2

Seterusnya, slot kedua disampaikan oleh Dr Rozanizam Zakaria yang menyentuh tentang ujian psikologi melalui penggunaan tiga soal selidik penilaian psikometrik yang berbeza, iaitu Maslach Burnout Inventory (MBI), Depression, Anxiety, and Stress Scale (DASS 21), dan Brief Coping Orientation of Problem Experienced (COPE). Dalam slot ini, para peserta mendapat gambaran yang jelas tentang kegunaan soal selidik ini dan didedahkan dengan maksud sebenar item- item penting yang terkandung di dalamnya.

img-20151121-wa00221

Selain itu, mereka juga diajar teknik- teknik mengawal stres melalui aktiviti yang dijalankan dalam kumpulan- kumpulan kecil. Antara teknik yang disampaikan ialah teknik pernafasan dan teknik relaksasi otot.

forum

‘Been there, done that’ merupakan slot terakhir dalam kursus pengurusan stres I-Medik. Slot yang dijalankan dalam bentuk forum ini membariskan para panelis yang berpengalaman dan pernah mengalami jerit perih dalam profesion perubatan itu sendiri. Perkongsian daripada Dr Izyan Shazwani Khairuddin, Dr Aniza Hassan, dan Dr Nur Akmal Ismail semestinya ditunggu oleh para peserta kerana butir- butir pengalaman dan perkongsian yang berharga daripada mereka pastinya dapat dijadikan iktibar dan panduan dalam mendepani skop pekerjaan yang sangat mencabar.

Program anjuran I- Medik Kelantan dan MedSoc ini berakhir pada pukul dua petang. Pihak penganjur berharap agar para peserta dapat mengutip sebanyak mungkin mutiara ilmu yang berharga daripada kursus yang dijalankan. Diharap juga tips- tips yang telah disampaikan dapat dipraktik sepenuhnya oleh para pelajar dan pegawai perubatan siswazah demi mencapai kesihatan mental yang optimum dan mengelak daripada gejala stres yang memudaratkan. Hal ini penting kerana merekalah tulang belakang kepada sistem kesihatan di Malaysia.

img_20151121_1505501

Leave a Comment