Hari Oral : ‘Ingat Hari Jadi,Ingat Doktor Gigi’

Selamat Hari Kesihatan Oral Sedunia

Masyarakat di Malaysia umumnya sudah acap kali menerima info tentang kepentingan penjagaan kesihatan termasuk kesihatan pergigian. Pelbagai usaha telah dijalankan oleh pihak kerajaan terutamanya bagi meningkatkan pengetahuan dan kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk menjaga kesihatan mulut. Sebagai contoh, penjagaan kesihatan pergigian primer merupakan satu komponen di bawah Program Kesihatan Pergigian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), yang mensasarkan segenap lapisan masyarakat bermula daripada bayi sehingga golongan warga emas.

Aktiviti promosi menerusi pelaksanaan program dan juga media sosial tidak kurang rancaknya. Salah satu kempen yang amat baik ialah Kempen Pemeriksaan Pergigian Sekurang-kurangnya Sekali Setahun (PEPSIS) dengan slogannya ‘Ingat Hari Jadi, Ingat Doktor Gigi’. Kempen ini dilancarkan pada tahun 2021 bersempena dengan Minggu Promosi Kesihatan Pergigian (MPKP) 2021. Jika selama ini apabila tibanya hari jadi, kebanyakan orang akan mengadakan sambutan hari lahir. Tidak kurang juga ada yang mengambil peluang untuk memperbaharui lesen memandu. Kempen PEPSIS ini secara tidak langsung mengambil pendekatan baru agar masyarakat tidak lupa untuk memeriksa keadaan kesihatan mulut mereka.

Sungguhpun pelbagai usaha telah dilakukan, masih ramai lagi yang mengalami masalah pergigian tanpa mereka sedari ataupun tidak. Hasil kajian daripada National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2019 menunjukkan bahawa 7 daripada 10 rakyat Malaysia mempunyai persepsi bahawa mereka tidak mempunyai masalah kesihatan gigi. Dalam laporan yang sama menyatakan 15% tidak pernah melawat klinik gigi sepanjang hidup mereka. Maka, tidak hairanlah rata-rata pesakit hanya akan berjumpa doktor gigi apabila mereka mempunyai masalah seperti makanan kerap terselit di celah gigi, sakit, bengkak dan sebagainya.

Oleh itu, usaha kolektif daripada pelbagai pihak di setiap peringkat memainkan peranan penting dalam meningkatkan status kesihatan oral masyarakat. Saranan pertama adalah kepada semua ibu bapa, merekalah yang mencorak kemenjadian anak-anak kerana pendidikan pertama bermula di rumah. Ibu bapa perlu mengajar anak mereka cara memberus gigi dengan betul sekurang-kurangnya dua kali sehari dan membawa mereka ke klinik gigi untuk pemeriksaan secara berkala. Di samping itu, ibu bapa jugalah yang berperanan dalam mengawal pemakanan anak-anak agar tidak mengambil makanan manis secara berlebihan. Beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan sepanjang pandemik covid berlaku di Malaysia memperlihatkan peri pentingnya tugas ibu bapa dalam menjalankan tanggungjawab ini kerana anak-anak banyak menghabiskan masa mereka di rumah.

Saranan kedua pula kepada tenaga pengajar di tadika dan sekolah untuk memperkasakan lagi pendidikan kesihatan pergigian dalam kalangan murid. Ilmu tentang kesihatan pergigian boleh dimasukkan dalam silibus pembelajaran di samping ilmu kesihatan yang lain. Selain itu, pihak tadika dan sekolah juga boleh menjemput anggota pergigian bagi menyampaikan info terkini di premis mereka. Walaupun lawatan ke tadika dan sekolah sudah termasuk dalam perancangan perkhidmatan kesihatan pergigian primer KKM, terdapat banyak lagi tadika dan sekolah khususnya yang swasta tidak dapat keistimewaan ini. Justeru, pihak pengurusan perlulah mengambil inisiatif tambahan untuk memastikan murid di bawah jagaan mereka mendapat manfaat yang sama.

Saranan yang terakhir adalah pengusaha industri kreatif di Malaysia perlu memperbanyak dan memperluas lagi bahan-bahan berkaitan kesihatan khususnya kesihatan oral. Bahagian promosi kesihatan pergigian KKM telah berhempas pulas untuk mengeluarkan artikel, poster dan video yang berkaitan. Gandingan usaha bersama penggiat industri kreatif pastinya dapat meningkatkan lagi capaian kepada masyarakat di serata negara. Siri animasi Upin dan Ipin sebagai contoh ada menekankan aspek amalan penjagaan pergigian dengan betul dan siri kartun seperti ini mampu menarik minat golongan muda.

Kesimpulannya, kesihatan pergigian yang baik dalam kalangan rakyat Malaysia tidak dapat dicapai hanya dengan usaha anggota pergigian sahaja malah sokongan dan kerjasama daripada semua pihak amatlah diperlukan. Gandingan usaha ini perlu berjalan secara berterusan dan holistik agar taraf kesihatan mulut masyarakat bertambah baik dari semasa ke semasa, bermula dengan slogan yang mudah, ‘Ingat Hari Jadi, Ingat Doktor Gigi’.

Leave a Comment