Jangan abaikan penjagaan gigi susu

Ramai ibu bapa menganggap tidak penting menjaga kesihatan gigi susu anak-anak mereka. Alasan yang biasa didengari adalah

“Gigi susu nanti akan luruh juga, jadi kenapa perlu ambil kisah.”

“Kalau rosak pun tak apa sebab nanti ada gigi lain tumbuh.”

Gigi susu

Allah swt mencipta manusia dengan 2 set gigi iaitu gigi susu dan gigi kekal. Gigi susu berjumlah 20 batang manakala gigi kekal pula berjumlah 32 batang. Secara fizikal dan anatominya, gigi susu berwarna putih, bersaiz lebih kecil, mempunyai lapisan enamel dan dentin yang nipis tetapi lapisan pulp yang besar. Gigi kekal pula berwarna sedikit kuning atau krim, bersaiz lebih besar, dan mempunyai lapis enamel dan dentin yang tebal tetapi lapisan pulp yang lebih kecil.

Kesemua 20 batang gigi susu kanak-kanak biasanya sedikit jarak manakala gigi kekal akan tumbuh sebelah menyebelah dan rapat.
Gigi susu akan keluar dari gusi kanak-kanak seawal usia 6 bulan dan menjelang usia mereka 2-3 tahun, kesemua 20 batang gigi akan muncul dari gusi anak.

Pada usia anak menjelang 6 tahun, bermulalah episod di mana gigi susu akan mula luruh secara semula jadi (ingat, ini proses semula jadi, bukan luruh disebabkan kerosakan gigi atau penderaan) dan gigi kekal akan tumbuh menggantikan gigi susu tadi. Fenomena gigi susu luruh dan gigi kekal tumbuh menggantikan gigi susu terus berlaku sehingga mereka berusia 12-13 tahun.

Jika kita melihat secara keseluruhan, gigi susu memberikan perkhidmatannya selama hampir 11.5-122.5 tahun. Ini satu tempoh yang lama bukan?

Adakah ciptaan Allah swt itu sia-sia? Tidak!

Fungsi gigi susu

Gigi susu tidak ubah seperti gigi kekal yang anda miliki, di mana ia membantu mengoyak, menggigit, mencengkam serta melumatkan makanan. Jadi ia berperanan untuk membantu proses penghadaman dan nutrisi pemakanan anak anda. Bayangkan kalau gigi sakit berlaku?

Namun dari aspek yang lain, gigi susu penting bagi penampilan diri untuk menaikkan rasa kepercayaan diri anak-anak anda. Jika tidak percaya, pernahkah anda semasa di zaman kanak-kanak merasa malu untuk senyum, bercakap dengan kawan-kawan apabila gigi anda rongak serta berbau busuk? Secara tidak langsung gigi susu turut membantu aktiviti sosial anak anda seperti kemahiran bercakap dan bergaul dengan kanak-kanak yang lain.

Gigi susu juga sebenarnya membantu mengekalkan ruang dan mengatur susunan gigi susu kekal. Hal ini kerana di bawah akar setiap gigi susu terdapatnya gigi kekal. Sekiranya gigi susu luruh sebelum masa, ini akan menyebabkan gigi yang belakang dari gigi yang luruh tadi untuk bergerak ke hadapan mengisi ruang yang telah kosong itu tadi. Akibatnya, ini akan menyempitkan ruang yang ada dan apabila gigi kekal tumbuh, ia tidak mempunyai ruang yang cukup. Akhirnya ia akan tumbuh sama ada di belakang atau di hadapan menjadikan gigi berlapis-lapis.

Gigi berlapis bukan sahaja kelihatan tidak cantik, malah menyebabkan plak akan mudah terkumpul di kawasan yang berlapis. Ini seterusnya meningkatkan risiko gusi bengkak (gingivitis) dan karies gigi bahkan kos rawatan dan masa juga lebih tinggi untuk rawatan ortodontik.

Kesan akibat mengambil ringan kesihatan gigi susu

  • Karies gigi
  • Gusi bengkak
  • Menjejaskan pemakanan dan penghadaman makanan
  • Sakit gigi (apabila melibatkan jangkitan bakteria ke lapisan pulp) dan menjeaskan aktiviti harian seperti tidak hadir ke sekolah
  • Menjejaskan percakapan
  • Gigi berlapis

decay

Mainkan peranan anda sebagai ibu bapa bertanggungjawab. Antara tips yang boleh diambil.

  1. Kawal pemakanan keluarga anda. Pastikan anak anda mendapat makanan yang berkhasiat. Kawal pemakanan yang tinggi kandungan gula ringkas seperti kek, aiskrim, coklat atau gula-gula.
  2. Jangan biasakan anak anda meminum minuman manis menggunakan botol sebaliknya ajari mereka minum di dalam gelas kesukaannya.
  3. Jangan tidurkan anak anda dengan memberikan botol yang berisi minuman manis. Ini kerana air manis tersebut berkumpul di ruang belakan gigi atas untuk tempoh yang lama dan ini meningkatkan risiko anak anda mendapat karies gigi.
  4. Biasakan anak anda minum air putih, buah-buahan dan sayur-sayuran. Kreatif dalam kaedah pemakanan.
  5. Berus gigi bersama anak anda 2 kali sehari iaitu pada awal pagi dan sebelum tidur. Pastikan anda awasi anak kecil semasa memberus gigi seperti jangan menelan ubat gigi kerana akan menyebabkan fluorosis gigi- iaitu gigi menjadi rapuh.
  6. Gunakan berus gigi yang yang bersaiz kepala kecil untuk memudahkan anak anda memberus. Gunakan jenis berus “soft”, bukan “medium” atau “hard” untuk mengelakkan luka pada gusi. Apa yang penting ialah teknik memberus gigi yang betul, bukan jenis berus yang menentukan bersih atau tidak gigi tersebut.
  7. Gunakan ubat gigi kanak-kanak untuk anak-anak anda yang berusia antara 2-6 tahun. Selepas 6 tahun anda boleh mula berikan anak anda menggunakan ubat gigi dewasa. Tidak perlu gunakan banyak semasa memberus gigi, cukup sekadar saiz sebiji buah kacang pea.
  8. Kerosakan gigi pada kanak-kanak cepat menjadi lebih teruk kerana anatomi lapisan enamel dan dentinnya yang nipis. Maka bawalah anak anda membuat pemeriksaan kesihatan gigi 2 kali setahun untuk mendapatkan rawatan pencegahan
  9. Gunakan kaedah “positive reward” dalam anda menghargai anak anda dalam menjaga kesihatan giginya. Berikan kata-kata yang baik seperti “ibu suka lihat gigi awak yang bersih”. Ingat, jangan gunakan umpan makanan ringan dalam anda menghargai usaha anak anda.

Semoga artikel ini membantu anda untuk lebih cakna kesihatan gigi.

Oleh:
Puan Ummu Hanani Ab Rahman
Aktivis I-Medik Kedah

Sumber: I-Medik Kedah

Leave a Comment