JANGAN KENDALI TEKANAN EMOSI DI MEDIA SOSIAL

Medial sosial sudah menjadi elemen wajib dalam kehidupan masyarakat hari ini. Lebih dari itu, ia juga sudah menjadi medium utama bagi berkongsi emosi dalam kehidupan seharian. Jika dulu tembok-tembok tepi parit kampung atau kedai kopi di jalan-jalan besar pekan menjadi tempat pelbagai lapisan masyarakat berkongsi cerita, luahan dan emosi, hari ini sosial media menjadi gantinya. Ini terbukti dengan kajian oleh agensi luar negara seperti Hootsuit dan We Are Social yang menunjukkan 79 peratus daripada penduduk Malaysia merupakan pengguna internet. Daripada jumlah berkenaan pula 75 peratus menggunakan perkhidmatan media sosial dan memperuntukkan purata tiga jam sehari di laman media sosial.
Penggunaan yang signifikan ini secara langsung menjadikan pelbagai bentuk emosi dikongsi dalam media sosial saban hari. Emosi suka, marah, benci, risau, takut , sedih dan pelbagai lagi terbit dalam pelbagai bentuk. Tidak kira melalui perkongsian di laman Facebook, cerita di Instastory, cicipan di Twitter dan pelbagai lagi ruang yang disediakan oleh penyedia media sosial hari ini. Tanpa kita sedari, perjalanan hidup kita hari ini dipengaruhi oleh emosi yang terbit dari media sosial. Emosi kita juga ada kalanya dipengaruhi oleh emosi yang dikongsi oleh orang lain melalui media sosial. Ini terbukti melalui kajian yang dilakukan di Amerika melibatkan 600 ribu pengguna Facebook mendapati emosi positif dan negatif boleh disebarkan secara tidak langsung kepada pengguna melalui jenis-jenis hantaran yang terdapat di media sosial. Fenomena yang dipanggil ‘emotional contagion’ ini membuktikan kepada kita betapa besarnya kesan media sosial dalam mempengaruhi emosi dan pskologi manusia.

SIFAT IMPULSIF DI MEDIA SOSIAL
-Apa yang merisaukan ialah fenomena ini bukan sekadar memberikan kesan yang positif. Banyak kesan negatif yang boleh terhasil daripadanya. Antaranya ialah isu kawalan terhadap apa yang kita kongsikan. Apabila kita terbiasa berkongsi apa sahaja dalam fikiran kita dengan andaian bahawa ia adalah ruang peribadi kita, pasti akan ada yang terlajak dan mengakibatkan mudharat kepada orang lain. Kes-kes yang hangat baru-baru ini seperti penghinaan kepada agama, institusi negara dan individu-individu tertentu menunjukkan bahawa perkongsian impulsif di media sosial boleh membawa kepada keadaan yang lebih serius seperti pelanggaran undang-undang dan mengakibatkan gangguan kepada keharmonian.
Kegagalan sesetengah individu untuk mengawal keterujaan untuk berkongsi pendapat, pandangan, emosi dan apa jua maklumat menerusi media sosial bukan sekadar mengakibatkan kesan yang buruk kepada individu tersebut, malah kepada orang lain. Sebagai contoh, penularan fitnah dalam media sosial boleh mengakibatkan mangsa mengalami tekanan mental dan mengakibatkan kesan yang lebih buruk seperti membunuh diri. Oleh kerana tiada kawalan, sesiapa sahaja boleh memberi komen dalam apa jua situasi tanpa memikirkan akibatnya.

MEDIA SOSIAL DAN MASALAH MENTAL
-Selain itu, bagi individu yang mengalami tekanan emosi dan psikologi, meluahkan emosi pada media sosial juga boleh menyebabkan seseorang itu terlepas pandang bentuk penyelesaian lain yang lebih efektif. Tekanan psikologi yang dialami akan gagal diselesaikan sekiranya individu terbabit hanya memilih medium media sosial sebagai jalan penyelesaian. Ini berlaku apabila individu terbabit lebih suka menghabiskan masa di alam maya sehingga mengabaikan penyelesaian yang boleh dilakukan di dunia realiti. Sokongan sosial dan bantuan professional adalah antara asas penting dalam membantu seseorang ketika mengalami tekanan. Jika mereka terperuk dalam dunia maya mereka, mereka akan gagal untuk mendapat akses kepada bantuan ini dengan efektif. Adakalanya keadaan diburukkan lagi dengan nasihat yang tidak tepat yang diperolehi dari media sosial tentang bagaimana mengurus masalah yang mereka hadapi.
Selain itu, ketaksuban terhadap penggunaan media sosial mungkin hakikatnya adalah suatu bentuk ketagihan yang serius. Biarpun ketagihan gajet dan internet belum secara rasmi diklasifikasikan sebagai masalah mental, namun kesan ketagihan ini kepada emosi dan psikologi manusia telah banyak dibuktikan secara saintifik. Bukan sekadar itu, ketagihan peranti elektronik, internet dan media sosial juga merupakan antara penyumbang kepada punca masalah mental yang lebih serius seperti kemurungan, keresahan dan gejala bunuh diri. Antara contoh yang lazim berlaku adalah bagaimana buli siber menyumbang kepada kes-kes kemurungan di kalangan pengguna.

CEGAH SEBELUM PARAH
-Sungguhpun banyak sisi positif media sosial pada perkembangan zaman, kita harus berhati-hati dan meletakkan sempadan yang jelas dalam mengatur penggunaan kita sehari-hari. Biarpun banyak maklumat berguna yang dikongsi di media sosial, kajian psikologi menunjukkan manusia lebih cenderung untuk mengingati aspek negatif sesuatu pengalaman. Fenomena yang dipanggil negativity bias ini dikhuatiri akanmenyebabkan unsur negatif di dalam media sosial harini ini mendominasi cara fikir generasi muda. Ibubapa perlu memainkan peranan dalam mendisiplinkan penggunaan media sosial dikalangan anak-anak agar apa jua masalah boleh dikesan dan dicegah lebih awal. Pastikan penggunaan yang bersesuaian dengan umur dan kematangan anak, pantau secara dekat, banyakkan berbincang secara terbuka mengenai isu yang mereka keliru di media sosial. Sediakan gaya hidupp alternative yang lebih sihat bagi mengatasi lambakan masa yang terluang untuk dihabiskan di media sosial. Akhir sekali, apa yang juga penting, ibu bapa perlu menunjukkan teladan dalam penggunaan yang berhemah.

Dr Rozanizam Zakaria,
Ahli Jawatan Kuasa Pusat Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik)
Pakar Psikiatri UIAM

Leave a Comment