Karnival Wanita & Kesihatan PPR Semarak

Pada 14 Oktober 2023 telah berlangsung Karnival Wanita dan Kesihatan anjuran ISMA Gombak dengan kerjasama Wanita ISMA, Kelab Iffah Malaysia, I-Medik dan Surau Al-Husna Seri Semarak di PPR Seri Semarak.

Sekitar 100 orang penduduk PPR hadir memeriahkan karnival ini yang julung-julung kali diadakan. Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan ialah senamrobik, ceramah Pemakanan Sihat, ceramah Sentuhan Selamat, pertandingan mewarna dan melukis serta cabutan bertuah.

 

Wakil JK Pusat I-Medik, Dr. Delima Radzwa Hasan telah dijemput untuk menyampaikan ceramah bertajuk Sentuhan Selamat kepada para ibu dan kanak-kanak.

Dr Delima telah memberi pengenalan kepada para ibu mengenai Modul Pendidikan Seksualiti dan Kesihatan Reproduktif (ReproAlert!) dan kepentingan pendidikan seksualiti seperti Sentuhan Selamat diberikan kepada kanak-kanak bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa serangan seksual.

Beliau kemudian mengajak para hadirin untuk mengingat kembali tujuan penciptaan manusia iaitu untuk menyembah Allah dan tubuh badan manusia adalah amanah dari Allah dan perlu dijaga dengan sebaik-baiknya.

Ceramah diselitkan dengan aktiviti bersama ibu dan anak untuk mengenalpasti anggota tubuh badan, terutama sekali 4 ‘hotspot’ dimana sentuhan tidak selamat boleh berlaku. Kanak-kanak juga diajar bagaimana untuk menghadapi situasi sekiranya berlaku sentuhan tidak selamat.

Di akhir ceramah, rata-rata para ibu amat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak I-Medik dan juga penganjur kerana menganjurkan ceramah ini.

I-Medik berharap agar ceramah ini dapat membantu para ibu dan kanak-kanak untuk mengelakkan diri dari sebarang bentuk ancaman gangguan seksual

Leave a Comment