KEKALKAN LARANGAN JUALAN ROKOK BERSAIZ KECIL “KIDDIE PACK”

Beberapa pihak dari industri rokok dan tembakau juga dari persatuan kedai makanan telah mencadangkan bagi kerajaan untuk memperkenalkan kembali rokok pek kecil (mengandungi 10 atau kurang batang rokok) atau lebih dikenali sebagai ‘kiddie pack’ ke dalam pasaran Malaysia. I-Medik sebagai sebuah pertubuhan kesihatan membantah keras akan cadangan tersebut .

Larangan untuk penjualan ‘kiddie pack’ atau rokok yang mempunyai kurang daripada 14 batang sepaket di Malaysia telah dikuatkuasakan pada 2006 [1]. Tujuan utamanya bagi mengurangkan kemampuan golongan remaja berumur 18 tahun dan ke bawah untuk membeli rokok ini selaras dengan artikel 16, WHO Framework Convention on Tobacco Control (WHO FCTC) 2003 [2].

Cadangan untuk membenarkan semula pek rokok bersaiz kecil ini ke pasaran diutarakan kononnya bagi mengurangkan kemasukkan rokok haram ke dalam negara. Pihak-pihak terbabit menganggarkan jika pek kecil yang lebih mampu milik ini dipasarkan, rakyat akan kurang membeli rokok haram yang berharga lebih murah daripada harga rokok pek biasa dan ini akan meningkatkan hasil kutipan cukai rokok negara.

Walaubagaimanapun, pihak kami dengan tegasnya berpendirian bahawa cadangan ini akan membawa kepada mudarat yang lebih besar kepada masyarakat dalam jangka panjang terutamanya dalam meningkatkan jumlah perokok. Ini seterusnya memberi kesan buruk kepada ekonomi negara dalam menanggung kos rawatan bersubsidi yang semakin meningkat akibat penyakit berkaitan rokok seperti penyakit jantung iskemik (IHD), kanser peparu dan penyakit pulmonari obsturktif kronik (COPD). Dianggarkan kos keseluruhan rawatan bersubsidi bagi 3 penyakit ini sahaja adalah RM 5.54 billion bagi tahun 2017 berdasarkan kajian oleh Al Junaid et al di dalam laporan SEATCA 2007. Kos ini adalah 5 kali lebih ganda berbanding kos pulangan cukai dari hasil jualan rokok.

Umum mengetahui bahawa rokok haram berharga kurang daripada RM10 boleh didapati di kiosk tidak berdaftar dan permintaan terhadap rokok haram meningkat akibat perokok kurang mampu membeli rokok berharga mahal yang sedia ada di pasaran yang mencecah harga lebih RM 20 sekotak.

Jika rokok pek kecil berharga murah ini dibenarkan kembali ke pasaran tempatan, rokok ini akan lebih mudah didapati di kedai kedai seluruh negara lalu meningkatkan aksesibiliti kepada rokok terutamanya dalam golongan remaja. Kajian Tobacco & E-Cigarette Survey Among Malaysian Adolescents (TECMA) 2016 mendapati 94.3% remaja merokok kurang daripada 10 batang sehari dan 71.6% remaja membeli rokok kurang daripada RM9. Golongan ini akan menjadi target penjualan rokok bersaiz kecil oleh pihak industri rokok dan tembakau.

Bantah sekarang di: bit.ly/bantahkiddiepack

Bagi meningkatkan penguatkuasaan terhadap penjualan rokok haram, dicadangkan agar pihak berwajib contohnya pihak polis atau KPDNKK boleh menyediakan maklumat jelas berkenaan bagaimana masyarakat dapat membuat laporan berkenaan kedai atau kiosk yang menjual rokok haram agar tindakan undang-undang dapat dikenakan.

Sesi taklimat berterusan perlu dilakukan oleh pihak berwajib dan NGO bagi mendidik masyarakat berkenaan isu rokok haram dan kesan rokok terhadap kesihatan. Contohnya, pada 28 April 2017, pihak ADUN Pengkalan Kubor, Kelantan dengan kerjasama Pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan disertai I-Medik Kelantan telah mengadakan Program Basmi Rokok Tidak Sah. Semua pihak harus menggembeleng tenaga bagi menangani isu rokok haram ini.

Prof. Madya Dr. Rafidah Hanim Mokhtar
Naib Presiden I-Medik

Puan ‘Aisya Nabilah Abd Rahman
Ahli Jawatankuasa Farmasi I-Medik

Rujukan:

  • http://www.thestar.com.my/news/nation/2006/06/01/kiddie-pack-cigarettes-removed-from-shelves-in-malaysia/
  • http://www.who.int/fctc/text_download/en/

Leave a Comment