Keluarga antara faktor dorong individu menjadi pembuli

Oleh Balkish Awang

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Masyarakat perlu proaktif dengan kes buli atau dera dan tidak lagi beranggapan insiden ini sebagai perkara biasa, demikian pandangan Pakar Psikiatri dan Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Rozanizam Zakaria.

Menurut beliau, Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2017 mendapati, satu dari enam remaja terlibat menjadi mangsa buli dan lelaki lebih banyak terlibat dalam kes sebegini, berbanding wanita.

Kes buli juga paling banyak berlaku dalam kalangan pelajar tingkatan satu iaitu 23 peratus dengan bentuk buli paling lazim adalah kecam badan atau body shaming.

“Ia perlu dicegah sedari awal bagi mengelakkan kesan yang lebih berterusan, antaranya dengan memperbaiki mekanisme yang sedia ada dalam pelaporan, sokongan dan pencegahan bagi semua jenis buli sama ada menerusi fizikal atau maya.

“Ibu bapa perlu memberi perhatian kepada perubahan emosi anak-anak. Jangan sesekali memperkecil pengalaman mereka sekalipun pada kita ia adalah isu yang remeh,” katanya kepada Bernama, sambil menambah, ibu bapa juga harus menyediakan ruang yang selamat untuk anak-anak berkongsi selain mengenalpasti individu berisiko untuk terlibat dengan gejala buli agar pencegahan dapat dilakukan.

 

Kesan trauma kepada mangsa, pembuli

Dr Rozanizam yang juga Naib Presiden Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) berkata, perbuatan buli turut memberikan kesan trauma kepada emosi mangsa malah juga kepada si pelaku.

Untuk mangsa, selain fizikal, ia memberi kesan kepada kepercayaan mangsa terhadap orang lain, keyakinan diri dan pembentukan personaliti.

“Bagi kesan jangka pendek, ia boleh memberi kesan kepada gelaja trauma seperti imbasan trauma yang datang secara berulang, gangguan tidur, kemampuan untuk berhadapan dengan orang lain serta kemampuan untuk belajar.

“Untuk jangka masa panjang, mangsa lima kali lebih berisiko untuk mendapat masalah mental seperti kemurungan serta kebimbangan, berbanding remaja yang tidak dibuli. Mangsa lelaki lebih berisiko terlibat dengan kejadian mencederakan diri dan bunuh diri,” katanya.

Bagi si pembuli pula, mereka turut berisiko mendapat kesan psikologi, terutama sekiranya mereka sudah sedar dengan implikasi perbuatan yang dilakukan.

“Perasaan bersalah dan menyesal boleh menghantui individu yang terlibat sehingga membawa kesan yang berpanjangan,” tambahnya.

 

Banyak faktor dorong perbuatan buli

Banyak faktor yang mendorong perbuatan membuli, antaranya adalah faktor keluarga, rakan sebaya dan psikologi.

Pengarah Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Fariza Md Sham dalam menjelaskan perkara ini kepada Bernama berkata, faktor psikologi berkait dengan pengalaman atau peristiwa yang pernah dilalui oleh individu tersebut.

“Individu terbabit mungkin pernah dibuli. Maka mereka juga menjadi pembuli kerana menganggap perkara ini biasa dan menyeronokkan. Selain itu, faktor psikologi juga berkait dengan personaliti yang dimiliki oleh individu pembuli seperti sifat agresif, tingkah laku negatif, penghargaan kendiri rendah, gangguan emosi dan sifat membalas dendam,” katanya.

Dari sudut keluarga pula, perbuatan membuli juga ada kaitannya dengan gaya keibubapaan atau cara pendidikan yang diterapkan ibu bapa atau keluarga sejak si pembuli kecil.

Menurut Fariza, sekiranya pendidikan awal yang diterima daripada keluarga adalah dalam bentuk kekerasan seperti sering dipukul sejak kecil, maka individu tersebut bila menjelang remaja atau dewasa juga akan cenderung untuk bersifat kasar dan keras seterusnya boleh menjadi pembuli.

Beliau yang juga pakar Psikologi Dakwah Remaja itu berkata, psikologi remaja adalah rapuh dan disebabkan itu jiwa mereka mudah memberontak.

“Pengalaman serta peristiwa dalam hidup yang dilalui ketika mereka kecil akan mempengaruhi personaliti dan tingkah laku remaja pada masa akan datang. Sekiranya remaja dibesarkan dalam persekitaran yang harmoni, toleransi,kasih sayang dan prihatin, maka remaja akan mempunyai sahsiah dan tingkah laku yang baik dan boleh mengawal emosi.

“Oleh itu pembentukan personaliti dan tingkah laku yang baik sangat penting dibentuk sejak awal kanak-kanak. Pembentukan ini memerlukan persekitaran yang positif. Kita ambil iktibar dari sejarah Rasulullah SAW yang dibesarkan dalam persekitaran yang baik di perkampungan Bani Saad ketika di usia kecil jauh daripada hiruk pikuk kota yang masyarakatnya hidup dalam suasana jahiliah dan kurang baik,” katanya.

Kisah Rasulullah ini, kata beliau, menunjukkan untuk perkembangan psikologi, mental dan fizikal, anak-anak memerlukan persekitaran yang baik serta positif agar jiwa yang terbentuk adalah baik, penuh kasih sayang serta saling menghargai.

Pantau aktiviti buli

Ketika ditanya kewajaran program yang berunsurkan buli dihentikan terutama hal yang menghimpunkan antara pelajar senior dan pelajar junior, Fariza berkata, secara umumnya program orientasi atau minggu suai kenal di sekolah atau universiti mempunyai tujuan yang baik, iaitu untuk membantu pelajar baharu mengenali dan membuat penyesuaian diri dalam suasana baharu.

Bagaimanapun, apa yang menjadi isu ialah apabila terdapat sekumpulan atau individu yang menyalahi atau menyimpang dengan melakukan buli kepada pelajar baharu yang di luar atur cara program.

“Ini yang menyebabkan program yang baik tercemar dengan perlakuan individu tertentu sehingga meninggalkan imej buruk terhadap program orientasi atau minggu suaikenal.

“Oleh itu, bagi mencegah tingkah laku buli berlaku, pihak pengurusan perlu memantau dan mengawal keadaan ini daripada berlaku aktiviti buli dengan mengisi program yang berbentuk mendidik jiwa dan hati sama ada untuk pelajar junior mahu pun pelajar senior, ” katanya.

Menurut beliau, aktiviti yang menjurus ke arah seperti membuli sememangnya dilarang sama sekali, namun terdapat kumpulan pelajar senior yang berlagak samseng dan mengugut pelajar sekiranya tindak-tanduk mereka dilaporkan kepada pihak pengurusan.

“Pihak pengurusan bukan hanya menunggu laporan daripada pelajar, malah perlu mengambil tindakan tegas sejak awal lagi untuk mencegah perbuatan buli serta kewujudan kumpulan pelajar samseng di sekolah atau universiti.

“Saya yakin jika ada tindakan tegas dan pelajar diberi bimbingan rohani dan jiwa serta diisi dengan program yang membina jati diri, Insya-Allah perkara buli dapat ditangani,” katanya.

– BERNAMA

Leave a Comment