Kenyataan Media I-Medik Berkenaan Isu Duti Eksais Vape Dalam Pembentangan Belanjawan 2023

I-Medik menggesa kerajaan agar menguatkuasakan undang-undang berkenaan kawalan produk mengandungi nikotin serta meluluskan segera RUU Kawalan Tembakau atau Generation End Game sebelum mengenakan cukai terhadap vape bernikotin.

Berkenaan kenyataan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkenaan penjualan vape bernikotin secara haram dengan jumlah jualan kira-kira RM 2 billion, jika kita hanya melihat pada keuntungan jangka pendek melalui kutipan cukai, negara sebenarnya perlu menanggung lebih banyak kos dalam merawat kesan-kesan merokok dan ketagihan terhadap nikotin.

Cecair vape yang mengandungi nikotin sebenarnya berada di bawah Akta Racun 1952 di mana pembekalannya terhad oleh pegawai perubatan dan pegawai farmasi sahaja. Walaubagaimanapun, I-Medik melihat penguatkuasaan terhadap akta ini terhadap cecair vape bernikotin masih lemah dan tiada kawalan yang jelas menyebabkan cecair vape ini dijual dengan sewenang-wenangnya kepada masyarakat tanpa kawalan serta berselindung di sebalik produk cecair vape tanpa nikotin.

Penjualan produk vape bernikotin juga digesa agar terhad kepada individu berusia 18 tahun ke atas dan tidak dijual atau dipromosikan kepada kanak-kanak atau remaja bawah umur.

Terdapat kemungkinan peniaga vape mendakwa vape yang dijual hanya mengandungi perisa dan tiada kandungan nikotin untuk menyebabkan ketagihan. Namun begitu, pendedahan bahan dan alat vape yang mempunyai bentuk serta perisa yang menarik kepada golongan rentan seperti kanak-kanak dan remaja boleh mendorong kepada pembentukan tabiat menghisap yang akhirnya boleh menjurus kepada perbuatan menghisap rokok atau vape bernikotin.

Kekurangan penguatkuasaan undang-undang yang betul-betul boleh mengawalselia produk vape yang dijual di pasaran menyebabkan tiada sebarang jaminan vape yang didakwa bebas nikotin sebenarnya tidak langsung mempunyai kandungan nikotin dalam cecairnya.

Kita wajar mencontohi Singapura yang sehingga kini mengharamkan penjualan, penggunaan dan pemilikan vape dan rokok elektronik tanpa mempertimbangkan kutipan cukai dari bahan yang bersifat ketagihan itu.

PROF. DR. AZIZI BIN AYOB

Presiden, Pertubuhan Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik)

 

Leave a Comment