KENYATAAN MEDIA IKATAN PENGAMAL PERUBATAN DAN KESIHATAN MUSLIM MALAYSIA (I-MEDIK) BANTAHAN KE ATAS PENGECUALIAN CECAIR NIKOTIN DARI AKTA RACUN 1952

YB Menteri Kesihatan Dr. Zaliha Mustafa telah membuat pindaan Akta Racun 1952 dengan mengecualikan tampalan, cecair dan gel nikotin daripada senarai racun yang perlu dipantau oleh kerajaan melalui Warta Pindaan Perintah Racun (Pindaan Senarai Racun) 2023 yang telah ditandatangani pada 31 Mac 2023.

Tindakan ini adalah bagi membolehkan kerajaan mengutip cukai ke atas produk-produk rokok elektronik dan vape (vaporing devices) sepertimana Warta Kerajaan Persekutuan yang telah dikeluarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tarikh yang sama.

Ini menjadikan penggunaan cecair nikotin bagi produk rokok elektronik dan vape (vaporing devices) tidak lagi dipantau di bawah Akta Racun 1952 dan membolehkan penjualannya kepada masyarakat kerana tiada lagi undang-undang lain khusus berkenaan penjualan ‘candu’ vape sehingga kini.

Keputusan YBMK ini boleh membuka ruang besar penggunaan dan ketagihan nikotin berleluasa melalui penggunaan rokok elektronik dan vape tanpa kawalan dalam kalangan masyarakat termasuklah kanak-kanak dan remaja.

Ini kerana tiada undang-undang semasa yang boleh menyekat kanak-kanak dan remaja mendapatkan cecair nikotin dan menghisap ‘candu’ Vape apabila pindaan ini dibuat. Malah Pengerusi Majlis Kawalan Tembakau Malaysia, Dr. M Muralitharan menyatakan penjualan cecair nikotin juga tidak dikawal di bawah Akta Makanan 1983.

Polisi Generasi Penamat (GEG)

Hal ini seterusnya akan menjejaskan komitmen kerajaan terhadap Polisi Generasi Penamat yang telah diumumkan pada tahun 2022. Mantan YBMK Khairi Jamaluddin telah membentangkan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 pada Oktober 2022 namun begitu ia belum diluluskan dan perlu diperhalusi oleh Parlimen dan masih belum dibentangkan semula sehingga kini.

Semua pihak memahami bahawa RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 ini adalah bertujuan untuk melindungi generasi muda daripada terjebak dengan tabiat merokok, selain mengurangkan kematian akibat penyakit berkait rokok. Ia juga adalah strategi KKM bagi mengurangkan peratus perokok di Malaysia kepada kurang lima peratus menjelang 2040
berbanding kira-kira 21% ketika ini.

Maka adalah satu tanggungjawab dan kewajipan kerajaan untuk menyegerakan kelulusan RUU Kawalan Produk Tembakau 2022 sebelum apa-apa tindakan berkaitan isu ini.

I-MEDIK ingin menegaskan kembali pendirian dan komitmen kami untuk mendesak Kerajaan menghalang sebarang usaha penggunaan dan penjualan nikotin tanpa kawalan dibenarkan
di dalam masyarakat.

I-MEDIK sebagai sebuah NGO perubatan dan kesihatan juga menyatakan kerisauan akan kelemahan mekanisme kawalan penjualan rokok elektronik dan vape dalam masyarakat hari ini yang menunjukkan peningkatan penggunaan di kalangan kanak-kanak dan remaja. Ini ditambah pula penggunaan cecair nikotin boleh dijual secara terbuka tanpa sekatan.

I-MEDIK menggesa YBMK dan Kementerian Kesihatan Malaysia menimbang semula kewajaran keputusan ini dan ianya sangat bertentangan dengan kaedah pencegahan awal risiko penyakit tidak berjangkit kepada semua pihak.

“GENERASI SIHAT TOLAK NIKOTIN”

Dr. Mohd Ihsanuddin Abas
Ketua Unit Kesihatan Awam
Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik)

1 APRIL 2023

#BantahCukaiVape
#GenerasiPenamat
#GenerasiBebasNikotin

 

Leave a Comment