Kritikan Terhadap United Nations International Technical Guidance on Sexuality Education 2018

Normalisasi seks dan ideologi LGBTQ semakin menjadi-jadi mutakhir ini dan cuba untuk masuk ke dalam segenap sistem masyarakat secara terang dan halus, termasuklah percubaan untuk memasuki institusi pendidikan melalui ‘Garis Panduan Teknikal Antarabangsa Bagi Pendidikan Seksualiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (International Technical Guidance on Sexuality Education)’ yang telah diterbitkan pada tahun 2018.

Penelitian yang terperinci wajar dijalankan ke atas dokumen ini sebelum dicadangkan kesesuaiannya untuk dilaksanakan di Malaysia, kerana terdapat beberapa perkara di dalam garis panduan ini yang secara jelas bercanggah dengan akhlak dan budaya Islam.

Pertama, di halaman 16 dan 17 garis panduan tersebut, telah dinyatakan secara terang bahawa objektif Pendidikan Seksualiti Komprehensif (CSE) yang dicadangkan adalah untuk menggalakkan kanak-kanak membina sikap saling menghormati dalam menjalin hubungan sosial dan seksual, serta mempunyai perhubungan yang sihat dengan pasangan romantis dan seksual mereka. Hal ini berisiko mendedahkan kanak-kanak kepada perlakuan seks, dan mereka boleh menjadi mangsa kepada golongan pedofilia . Undang-undang Islam dengan jelas menganggap penderaan seksual terhadap kanak-kanak merupakan satu jenayah yang serius dan menanggung akibat yang besar.

Kedua, garis panduan ini juga menyokong pengedaran kondom kepada remaja dan kanak-kanak. Tidak cukup dengan mempromosikan pengedaran kondom, ia juga mencadangkan untuk mengajar kanak-kanak bermula usia 12 tahun kemahiran pemakaian kondom yang betul. Hal ini bertentangan dengan ajaran Islam yang menekankan kepentingan abstinens (menahan diri daripada melakukan hubungan seks sebelum berkahwin), memberi keutamaan kepada ketinggian akhlak dan menjaga maruah individu. Mempromosikan penggunaan kondom serta membincangkan secara terbuka dan jelas tentang penggunaan kondom kepada kanak-kanak dalam usia yang mentah seolah-olah menyampaikan mesej bahawa aktiviti seksual sebelum berkahwin adalah dibenarkan.

Ketiga, dalam bab kelima yang menerangkan tentang konsep, topik dan objektif pembelajaran CSE, garis panduan ini ada mencadangkan untuk mengajar kanak-kanak seawal usia 9 tahun supaya berasa seronok bermain dengan tubuh badan mereka sendiri, serta menggalakkan kanak-kanak untuk melakukan masturbasi secara bersendirian. Di dalam Islam, masturbasi merupakan perkara yang sangat tidak digalakkan malahan dilarang, apatah lagi mengajarkannya kepada kanak-kanak. Islam menekankan prinsip mencegah kemudaratan dan mengajar kaedah mengawal nafsu agar dapat mengarahkan keinginan seksual hanya dalam batasan perkahwinan.

Keempat, garis panduan ini menyatakan bahawa sikap diskriminasi dan prejudis terhadap golongan tertentu mengakibatkan peningkatan risiko HIV dan penyakit kelamin (STI). Oleh kerana itu, ia mempromosikan kesamarataan gender dan tiada diskriminasi tanpa mengira jantina , gender, orientasi seksual, dan identiti gender. Keadilan dalam Islam tidak bermaksud kesamarataan, tetapi meletakkan sesuatu pada tempatnya. Islam merupakan agama yang memperjuangkan keadilan dan menghormati semua individu, tetapi Islam juga memelihara fitrah manusia daripada menyimpang. Oleh sebab itu, Islam amat tegas dalam menangani permasalahan kecelaruan jantina dan orientasi seksual yang menyalahi norma masyarakat.

Kelima, garis panduan ini juga menggalakkan penggunaan PrEP sebagai langkah pencegahan terhadap HIV, secara tidak langsung bertujuan mempromosikan gaya hidup tertentu. Lebih-lebih lagi apabila ia mengiktiraf dan mengangkat aktivis terkemuka penghidap HIV yang secara jelas mengamalkan gaya hidup songsang.

Secara tuntasnya, garis panduan ini amatlah tidak sesuai untuk menjadi rujukan di Malaysia kerana ianya terpesong dari nilai moral dan akhlak yang diajarkan Islam. Dalam sesi ke-20 Perhimpunan Suruhanjaya Tetap Hak Asasi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC-IPHRC) di Jeddah, Arab Saudi pada Disember 2022, satu resolusi telah dicapai bahawa bagi negara-negara Islam, konsep LGBTQ dan CSE adalah tidak bersifat sejagat dan tidak diiktiraf oleh piawaian hak asasi manusia antarabangsa. Resolusi terbabit turut menyeru entiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) termasuk Majlis Hak Asasi Manusia (OHCHR) dan agensi-agensi lain agar tidak melangkaui mandat mereka bertujuan memasukkan kandungan promosi mengenai nilai-nilai kontroversi LGBTQ dan CSE.

Di Malaysia, di mana Islam merupakan agama rasmi dan dianuti oleh majoriti rakyat, maka matlamat pendidikan seksualiti haruslah seimbang dengan sensitiviti budaya dan norma masyarakat. Oleh itu, Malaysia perlulah mempunyai inisiatif untuk mewujudkan buku panduan teknikal tersendiri bagi mencapai matlamat ini.

Dr. Siti Sarah binti Amran (MBBCh)
Penggubal Mdoul ReproAlert!
Aktivis Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik)

ReproAlert! ialah satu modul yang digubal oleh pakar pelbagai bidang dalam memperkasakan pendidikan Seksual dan Reproduktif yang menitikberatkan nilai kekeluargaan.

Leave a Comment