Kunjungan Hormat Pasukan I-Medik Ke Klinik Kesihatan (KK) Daerah Jindires, Syria

11 April 2023 (Jindires,Syria) – Ketibaan kami disambut dengan penuh kemesraan oleh Pengarah KK, Dr Usamah (Pakar Perubatan Keluarga) dan Timbalan Pengarah Klinikal, Dr Hassan (Pakar Ortopedik). Kami dibawa meninjau kawasan dan aktiviti di klinik. Terdapat klinik kecemasan & am serta klinik ibu & anak. Apa yang menarik adalah klinik ini juga mempunyai perkhidmatan psikiatri. Majoriti pesakit klinik psikiatri ini ialah mereka yang mengidap post traumatic stress disorder (PTSD) pasca gempa. Klinik ini juga dilengkapi dengan makmal diagnostik asas serta pendaftaran pesakit atas talian.

Klinik yang ditaja oleh NGO Dünya Doktorları Derneği (DDD) ini menerima kunjungan pesakit sekitar 400 ke 500 pesakit sehari. Namun, bilangan tersebut berkurangan 50% pasca gempa. Ini adalah kerana wujudnya inisiatif klinik bergerak yang pergi ke tapak-tapak perkhemahan untuk menyampaikan servis kesihatan. Terdapat 8 klinik bergerak yang beroperasi sekitar Jindires tajaan beberapa NGO. Namun, jumlah klinik bergerak ini masih belum mencukupi untuk memberi servis kesihatan yang optimum kepada penduduk perkhemahan. Dikhabarkan, seramai 4 orang staff kesihatan KK Jindires ini meninggal dunia akibat daripada musibah gempa. Kini, majoriti Doktor dan staff kesihatan tinggal di tapak-tapak perkhemahan. Secara amnya, lebih 80% penduduk Jindires kini menetap di tapak perkhemahan dan trauma untuk tinggal di dalam bangunan.

Dr Usamah menyatakan kerisauan akan penularan wabak cholera dan polio pada musim panas akan datang. Ini adalah kerana, tahap kebersihan, sumber air bersih, sistem pelupusan sisa masih lagi suboptimal di majoriti tapak perkhemahan. Kurangnya kesedaran penduduk untuk mengambil vaksin juga meningkatkan risiko untuk berlakunya wabak ini. Dr Usamah juga menyatakan hasrat sekiranya bantuan dapat diberikan untuk memperbaiki sistem kebersihan dan mewujudkan bekalan air bersih yang berterusan di tapak perkhemahan supaya wabak cholera/polio dapat dibendung daripada berlaku.

Coretan daripada sukarelawan I-MedikCare, Dr Ikmal Kamil

#imedikturkisyria

#MembangunTamadunPerubatanIslam

Leave a Comment