Malaysia: Negara Sihat Tanpa Asap Rokok

 

1 Januari 2019 perlu dipromosi sebagai tarikh keramat dalam membendung isu dan budaya merokok di Malaysia seiring dengan misi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menurunkan prevalen merokok kurang daripada 5% menjelang tahun 2045 dalam kalangan rakyat Malaysia. Semua premis makanan telah diwartakan sebagai kawasan larangan merokok di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018 bermula 1 Januari 2019. Sebelum ini, arahan tersebut hanya melibatkan restoran berhawa dingin. Kali ini, arahan tersebut diperluaskan ke restoran tidak berhawa dingin, restoran dan warung berkonsep terbuka, trak makanan yang menyediakan meja dan kerusi serta restoran yang berada di atas kapal dan keretapi.

Pewartaan ini adalah komitmen Kerajaan Malaysia sebagai negara anggota kepada Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC). Langkah tersebut merupakan inisiatif KKM memperluaskan lagi kawasan larangan merokok dan membudayakan amalan tidak merokok serta melindungi orang awam daripada bahaya asap rokok.

Pelbagai reaksi dapat kita lihat sejak pengumuman cadangan untuk mengisytiharkan semua premis makanan sebagai kawasan larangan merokok oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye di persidangan Dewan Negara pada 5 September 2018. Memang tidak dapat dinafikan, akan timbul bantahan daripada golongan perokok. Manakala ada juga segelintir pemilik restoran yang turut sama membantah arahan tersebut. Antara alasan utama adalah tindakan penguatkuasaan ini bakal menjejaskan perniagaan mereka. Tambahan pula, tujuh individu telah memfailkan semakan kehakiman di mahkamah untuk mencabar penguatkuasaan larangan merokok di semua premis makanan dan baru-baru ini mereka memperoleh kebenaran untuk mencabar larangan tersebut. Namun begitu, KKM sama sekali tidak perlu tunduk kepada desakan sedemikian.

Tidak perlu tangguh
Kini sebulan telah berlalu. Syabas kepada KKM kerana tidak menangguhkan peraturan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan. Namun demikian, penglibatan secara holistik di mana kerjasama di antara pihak berkuasa serta agensi berkaitan, pemilik premis makanan, masyarakat setempat dan golongan perokok sendiri amat diperlukan untuk memastikan kejayaan pelaksanaan larangan tersebut.

Selain daripada aktiviti penguatkuasaan, pemilik premis makanan memainkan peranan penting untuk memastikan pematuhan penuh kepada usaha-usaha bebas asap rokok. Pemasangan papan tanda larangan merokok mengikut spesifikasi di tempat strategik serta melupuskan penggunaan bekas abu rokok adalah tindakan asas yang perlu dilaksanakan. Jika ada pelanggan yang merokok, pemilik premis harus tegas menghalang perbuatan tersebut. Persekitaran bebas asap rokok sama sekali tidak merugikan pemilik restoran dan gerai makanan. Pelanggan akan tetap mengunjungi premis makanan kerana makan adalah keperluan asas kehidupan. Bahkan keluarga bersama anak-anak kecil pasti memilih premis yang bebas daripada asap rokok.

Perkhidmatan Klinik Berhenti Merokok
Umum mengetahui rokok memudaratkan kesihatan namun masih ramai masyarakat yang merokok. Ketagihan nikotin merupakan punca utama mengapa golongan perokok mengalami kesukaran untuk berhenti merokok. Oleh demikian, mereka seharusnya memanfaatkan sepenuhnya perkhidmatan Klinik Berhenti Merokok yang disediakan oleh KKM di seluruh negara menerusi klinik kesihatan serta hospital terpilih. Dua perkara utama yang perlu dititikberatkan sebelum menjalani proses berhenti merokok adalah membuat keputusan tegas untuk meninggalkan tabiat merokok serta merancang persediaan bagi memudahkan usaha. Ahli keluarga serta rakan taulan perlu membantu dan menyokong usaha mereka untuk berhenti merokok.

Perluasan kawasan larangan merokok merupakan salah satu daripada strategi untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang sihat dan bebas daripada amalan merokok. Tindakan bersepadu daripada pelbagai kementerian, agensi, masyarakat dan individu perlu dikerah untuk merealisasikan agenda tersebut. Ia harus dipacu di semua peringkat secara proaktif dan berterusan.

Peranan NGO
Badan bukan kerajaan (NGO) perlu terlibat secara langsung untuk memperkasakan masyarakat mengenai isu berkaitan kesan tembakau dan produk tembakau terhadap kesihatan. Setiap NGO mempunyai kumpulan sasar, kemampuan serta kepakaran masing-masing. Pendidikan kesihatan melalui kempen media, siri ceramah berfokus di sekolah dan universiti, menganjurkan kempen anti tembakau seperti riadah berbasikal atau pertandingan video serta aktiviti out-reach dapat membantu pihak KKM melaksanakan advokasi. Sokongan sedemikian amat diperlukan dalam usaha mencegah budaya merokok dari berleluasa di Malaysia.

Dr. Ahmad Farid Nazmi Bin Abdul Halim
Ketua Unit Kawalan Rokok &Vape
Ikatan Pengamal Perubatan & Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik)

Leave a Comment