Malaysia tidak boleh guna pakai modul reproduktif Barat – Hubungan seksual tanpa perkahwinan rosakkan banyak hubungan sihat

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

PUTRAJAYA, 18 Muharram 1445H, Sabtu – Malaysia tidak boleh menggunapakai modul reproduktif Barat yang menerima hubungan seksual tanpa ikatan perkahwinan.

Ini kerana, hubungan seksual yang tidak berpandukan perkahwinan akan merosakkan banyak hubungan sihat akan datang, kata Pengerusi Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), Prof Dr Rafidah Hanim Mokhtar.

“Kita di Malaysia, beragama Islam dan mempunyai budaya tidak dapat memakai modul reproduktif barat yang mengatakan hubungan seksual tanpa perkahwinan itu sesuatu yang boleh diterima.

“Indeks kita bukan indeks berapa peratus yang mengambil pil perancang. Ini indeks daripada reproduktif barat. Kita ingin menjaga hubungan yang baik antara anak-anak…mereka masuk ke alam perkahwinan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Modul Pendidikan Seksualiti dan Kesihatan Reproduktif (ReproAlert) di Hotel Everly, di sini hari ini.

Prof Rafidah yang juga Penasihat dan Penggubal Modul ReproAlert berkata, modul mengandungi 16 topik ini dibangunkan oleh penggubal dan pakar yang memahami permasalahan dan cabaran terkini.

Beliau berkata, modul itu boleh disesuaikan dengan keperluan sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT) ataupun program bersama agensi lain.

Menurutnya, modul reproduktif ini diperlukan berikutan situasi cabaran dihadapi remaja sekarang berbeza dengan zaman dahulu.

“Kita lihat pada tahun 2017 ada akta kanak-kanak yang baharu. Kenapa ada undang-undang baharu?

“Kerana bercambahnya aktiviti gangguan seksual, amang seksual ataupun antun seksual melibatkan kanak-kanak dan penjaga mereka serta institusi yang kita katakan selama ini selamat,” katanya.

Sumber berita daripada Ismaweb : https://ismaweb.net/2023/08/05/malaysia-tidak-boleh-guna-pakai-modul-reproduktif-barat/

Leave a Comment