#KitaJagaKita

MASALAH MATA DALAM KALANGAN PESAKIT HIV

zakwan zakwan

Pada tahun 1981, jangkitan virus HIV mula dikenalpasti dalam kalangan dua golongan lelaki yang melakukan hubungan sejenis di San Francisco dan Bandar New York, Amerika Syarikat. Pesakit didapati mengalami kelemahan imunisasi badan yang teruk dan berterusan merundum sehingga ke tahap yang juga dikenali sebagai AIDS.

Kelemahan sistem imunisasi badan ini mengakibatkan pesakit mudah mendapat jangkitan bersama atau juga dikenali sebagai jangkitan oportunistik.

Jangkitan oportunistik ini boleh terjadi daripada pelbagai jenis mikroorganisma yang terdiri daripada kulat, bakteria, parasit dan juga virus. Selain itu, ia juga boleh menyerang mana-mana anggota badan pesakit termasuklah pada bahagian mata.

Terdapat pelbagai masalah mata yang boleh dialami oleh pesakit HIV, bermula daripada bahagian luar mata hinggalah ke dalam bola mata. Di samping itu, tahap keparahan jangkitan HIV seseorang juga meningkatkan risiko jenis jangkitan oportunistik yang boleh dialami pesakit.

Secara umumnya, pada tahap awal jangkitan HIV, pesakit boleh mendapat jangkitan oportunistik seperti penyakit Sarkoma Kaposi, Herpes Zoster Ophthalmicus, Kandidiasis dan Limfoma. Dalam keadaan jangkitan HIV yang meningkat lebih teruk, pesakit boleh mendapat jangkitan oportunistik seperti Tuberkulosis, Toksoplasmosis dan Pneumocystosis.

Manakala, pada tahap akhir jangkitan HIV pula, di mana jumlah kiraan sel darah putih CD4 yang sangat rendah, pesakit boleh mendapat jangkitan oportunistik seperti penyakit Retinitis Sitomegalovirus dan penyakit Mikobakterium-Avium Kompleks.

Sarkoma Kaposi Oftalmik

Sarkoma Kaposi Oftalmik adalah penyakit tumor vaskular yang disebabkan oleh virus Human Herpesvirus-8 (HHV-8). Kebiasaanya, ia akan menjangkiti bahagian luar mata, terutama sekali pada kelopak mata (10-75%) dan konjunktiva (25-80%).

Luka pada kelopak mata boleh menyebabkan mata tidak dapat ditutup dengan baik dan mengakibatkan kekeringan mata, jangkitan kuman pada kornea dan rabun silau yang teruk. Manakala, luka pada konjunktiva pula boleh menyebabkan pendarahan konjunktiva sering berlaku.

Laporan CDC di antara tahun 1992-1997 menyatakan bahawa, seramai 23.8% lelaki yang dijangkiti virus HIV telah mendapat jangkitan oportunistik virus HHV-8, dan dari jumlah tersebut 27.4% lelaki ini di kalangan mereka yang melakukan hubungan sejenis.

Hal ini menunjukkan bahawa, pesakit HIV di kalangan lelaki yang melakukan hubungan sejenis adalah berisiko untuk mendapat jangkitan ini, dan risiko ini meningkat secara mendadak dengan bertambahnya jumlah pasangan.

Herpes Zoster Ophthalmicus

Herpes zoster ophthalmicus atau juga dikenali sebagai kayap terjadi disebabkan oleh jangkitan semula virus terhadap saraf trigeminal, hasil daripada virus varicella yang kembali aktif. Ciri-ciri jangkitan ini adalah pesakit mengalami ruam vesikel di sekeliling mata dan dahi yang terjadi di satu belah bahagian sahaja.

Pesakit kebiasaannya akan berasa sakit pada kulit, sakit kepala dan badan, fobia cahaya, lenguh-lenguh badan dan demam. Hampir 25% pesakit HIV mengalami jangkitan oportunistik Herpes Zoster.

Daripada jumlah tersebut, 10-15% mengalami jangkitan Herpes Zoster melibatkan mata. Selain itu, separuh daripada pesakit herpes zoster ophthalmicus ini juga mengalami komplikasi daripada jangkitan. Di Amerika Syarikat sahaja, hampir 4 juta kes dilaporkan setahun sebelum vaksin varicella diperkenalkan pada tahun 1995.

Kandidiasis Okular

Kandidiasis Okular Endogen berlaku apabila kulat Kandida Albikan mencemari keseluruhan salur darah di setiap anggota badan. Jangkitan dalam bola mata yang juga dikenali sebagai endoftalmitis menyebabkan struktur gelemair dan gelemaca dalam bola mata berkabus dan gumpalan kulat berterbangan.

Pesakit kebiasaannya mengalami gangguan penglihatan seperti kabur pandangan, bayangan objek terapung dalam mata, fobia cahaya yang teruk dan kesakitan pada bola mata. Pesakit HIV di kalangan penyalahgunaan dadah intravaskular berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan oportunistik kulat kandida.

Sebelum tahun 1994, purata kes endoftalmitis kandida dilaporkan adalah sebanyak 28.1%. Peratusan ini menunjukkan penurunan selepas tahun 1994 iaitu sebanyak 0.9-1.2%. Infectious Disease Society of America (IDSA) telah menyarankan bagi setiap pesakit yang mendapat keputusan positif kandida dalam kultur darah untuk menjalani ujian mata saringan endoftalmitis.

Tuberkulosis Okular

Tuberkulosis merupakan jangkitan kuman yang boleh menyerang pelbagai organ di dalam badan, termasuklah pada mata. Tuberkulosis Okular merupakan jangkitan pada mana-mana bahagian mata yang disebabkan oleh Mikobakterium Tuberkulosis.

Kebiasaannya, jangkitan berlaku melalui udara ke dalam paru-paru, kemudian pembenihan dan sebaran melalui darah boleh berlaku. Simptom biasa yang dialami pesakit adalah seperti kabur pandangan, fobia cahaya, mata merah, sakit kepala dan bayangan objek terbang dalam pandangan.

Secara umumnya, satu pertiga populasi dunia telah dijangkiti oleh kuman Tuberkulosis, namun ia tidak aktif dan terpendam dalam badan seseorang. Setiap tahun, lebih dari 9 juta kes baru jangkitan dilaporkan dan daripada jumlah tersebut, 95% kes baru adalah dari negara-negara membangun.

Dalam kalangan pesakit HIV, seramai 5-10% pesakit dijangkiti kuman Tuberkulosis setahun. Jangkitan Tuberkulosis juga menunjukkan peningkatan di kalangan pesakit HIV dengan nisbah 2.4 di antara pesakit positif dan negatif Tuberkulosis.

Retinitis Sitomegalovirus

Retinitis Sitomegalovirus adalah jangkitan oportunistik virus Sitomegalovirus (CMV) yang berkait rapat dengan virus HIV/AIDS melibatkan keseluruhan lapisan saraf retina. Ia mengakibatkan saraf retina nekrosis, koyak dan lekang dari bola mata.

Hal ini menyebabkan pesakit mengalami simptom gangguan pandangan seperti bayangan objek terapung dalam mata dan kebutaan. Dua per tiga pesakit mengalami masalah di sebelah mata, manakala pesakit yang mengalami masalah di kedua-dua belah mata adalah disebabkan oleh ketiadaan rawatan atau kerana imunisasi pesakit yang tidak bertambah baik.

Di Amerika Syarikat, 25-40% pesakit HIV/AIDS mengalami Retinitis Sitomegalovirus, dan ia adalah jangkitan oportunistik yang paling kerap berlaku apabila bilangan sel darah putih CD4 pesakit adalah lebih rendah dari 50 sel per mikroliter (15-20%).

Kajian serologi sejarah jangkitan CMV menunjukkan hampir 50% populasi dewasa di kawasan urban telah dijangkiti virus tersebut, dan hampir 100% populasi lelaki homoseksual telah dijangkiti virus ini.

Kesimpulannya, pesakit HIV di kalangan lelaki yang melakukan hubungan sejenis lebih berisiko untuk mendapat masalah AIDS, dan ini menyebabkan pesakit lebih mudah mendapat jangkitan oportunistik yang serius seperti Sarkoma Kaposi Oftalmik, Tuberkulosis Okular dan Retinitis Sitomegalovirus.

Hal ini menunjukkan bahawa amalan LGBT adalah suatu perkara yang tidak normal dalam masyarakat, malah membawa kepada mudharat. Pesakit yang dijangkiti virus HIV perlu menjalani ujian mata saringan bagi mengelakkan komplikasi yang lebih teruk seperti kebutaan mata yang kekal.

Rujukan:

  1. Ocular Involvement in HIV/AIDS by Marissa Larochelle, MD on June 14, 2020. https://eyewiki.aao.org/Ocular_Involvement_in_HIV/AIDS
  2. Ocular Manifestations of HIV Infection by Robert A Copeland, MD on June 12, 2019 https://emedicine.medscape.com/article/1216172-overview#showall
  3. Ophthalmologic Manifestations of Kaposi Sarcoma by Jacqueline Freudenthal, MD on Apr 02, 2019 https://emedicine.medscape.com/article/1197815-overview#a5
  4. Herpes Zoster by Camila K Janniger, MD on Feb 11, 2021 https://emedicine.medscape.com/article/1132465-overview#a4
  5. Ocular Candidiasis by  by Neelakshi Bhagat, MD, FACS on May 10, 2021 https://eyewiki.aao.org/Ocular_Candidiasis
  6. Ocular Tuberculosis (TB) – Asia Pacific on Oct 2014 https://www.aao.org/topic-detail/ocular-tuberculosis-tb–asia-pacific-2
  7. Ophthalmic Manifestation of HIV by Irma Ahmed, MD on January 2006 http://hivinsite.ucsf.edu/InSite?page=kb-04-01-12
  8. Sexual Factors Associated With Cytomegalovirus Seropositivity in Human Immunodeficiency Virus-Infected Men by Carré, Nicolas MD, MPH on November 1997 https://journals.lww.com/stdjournal/Fulltext/1997/11000/Sexual_Factors_Associated_With_Cytomegalovirus.6.aspx

DR MUHAMMAD ZAKWAN BIN ILIAS

PENGERUSI I-MEDIK NEGERI SEMBILAN/
PEGAWAI PERUBATAN OFTALMOLOGI

 

Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on whatsapp