Misi Perubatan Pedalaman Sarawak: Renungan Seorang Aktivis

Mengimbau kembali misi-misi perubatan yang lepas bersama I-Medik Sarawak, banyak perkara yang kita boleh ambil iktibar. Antaranya terdapat kampung yang terletak jauh dari hospital dan klinik kesihatan. Mereka terpaksa melalui jalan berbatu selama lebih satu jam sebelum melalui jalan utama ke bandar terdekat yang terletak kira-kira sejam perjalanan. Terdapat juga kampung yang perlu menaiki bot selama 2 jam untuk ke klinik kesihatan yang terdekat. Ada antara kampung mereka tidak mempunyai bekalan air yang dirawat dan hanya mengharapkan air dari sungai dan juga air hujan yang telah ditadah.

Kebanyakan dari orang tua tidak mendapat pedidikan formal dan kebanyakan orang muda berhijrah ke bandar untuk mencari perkerjaan dan kebanyakan penduduk kampung terdiri daripada golongan tua dan kanak-kanak. Kebanyakan mereka bekerja sebagai petani. Namun, adab dan nilai mereka kadang kala melebihi golongan yang mendapat pendidikan yang tinggi. Tidak malukah kita sebagai golongan yang terpelajar dengan mereka? Seterusnya, ada antara mereka yang terpaksa menaiki kenderaan awam atau “sapu” ke hospital kerana tidak mempunyai kenderaan sendiri dan mereka terpaksa membayar tambang yang mahal. Namun mereka masih lagi datang mengikut temujanji yang telah ditetapkan walaupun kadang kala ada kesukaran yang tidak dapat dielakkan kerana bagi mereka kesihatan amat penting agar mereka dapat bekerja untuk sara hidup.

Jika nak dibandingkan dengan kehidupan kita yang mana jauh lebih bernasib baik berbanding mereka, kita sepatutnya berasa bersyukur. Namun segelintir dari kita masih lagi tidak mengambil endah perihal kesihatan kerana mungkin bagi kita apabila kita sakit, kemudahan kesihatan berada dekat dengan kita dan kita boleh sahaja pergi mendapatkan rawatan pada bila-bila masa. Lebih menyedihkan apabila ada yang meminta cuti sakit dengan sengaja supaya tidak perlu pergi bekerja. Terdapat juga pesakit apabila diberikan rawatan oleh doktor di hospital dan klinik tetapi tidak mengambil peduli dan sambil lewa apabila doktor memberikan nasihat.

Jika nak dibandingkan nasib kita dan mereka, nasib kita jauh lebih baik. Jadi apa alasan kita untuk tidak menjaga kesihatan sedangkan bagi penduduk kampung yang saya lihat dalam misi perubatan, amat susah bagi mereka untuk mendapatkan rawatan dan mereka memerlukan kesihatan tubuh badan untuk mereka bekerja bagi menyara kehidupan mereka seharian.

Ahmad Harith b Zainuddin
Pelajar Program Doktor Perubatan
Universiti Malaysia Sarawak
Aktivis I-Medik Sarawak

Melawat ke rumah keluarga pelbagai etnik di pedalaman Sarawak.
Pemeriksaan kesihatan asas untuk masyarakat awam.

Leave a Comment