Tidak berapa lama dahulu, pernah terpampang di dada akhbar, tajuk berita yang menarik perhatian berbunyi:
“Malaysia negara orang gemuk”
Sama ada ianya kelihatan lucu atau sinis, ianya adalah satu fakta yang harus dicernakan dengan baik. Hakikatnya memang betul kerana statistik menunjukkan hampir 40% rakyat Malaysia dilanda obesiti.
Obesiti berkait dengan gaya hidup; banyaknya makan dan kurangnya beraktiviti akan menyebabkan lemak terkumpul secara perlahan-lahan sehingga seseorang tidak sedar ia berpindah dari berat ideal kepada overweight dan obes.
Obesiti memberi banyak implikasi terhadap kesihatan. Pelbagai penyakit dikaitkan dengan obesiti; misalnya kencing manis, darah tinggi, hypercholesterol, sakit jantung, sleep apnoe syndrome dan juga kanser tertentu seperti kanser colorectal dan rahim. Pada wanita khususnya obesiti boleh menganggu kesihatan reproduksi. Wanita yang obes boleh mengalami gangguan haid termasuk haid yang sangat jarang atau terlalu kerap kerana obesiti akan menyebabkan hormon reproduksi dirembeskan secara tidak teratur.
Obesiti juga akan mengurangkan kesuburan wanita kerana ianya juga boleh menyebabkan gangguan ovulasi iaitu pengeluaran benih wanita. Selain daripada itu, kualiti benih atau oocyte yang dihasilkan juga akan menurun. Pada pesakit obes yang akan menjalani rawatan kesuburan, dos ubat yang diperlukan adalah tinggi serta peratus kejayaan akan menurun. Tidak hairanlah jika negara yang memberi subsidi untuk rawatan kesuburan menetapkan berat badan dengan kriteria tertentu sebelum boleh diterima masuk dalam program rawatan.
Bagi pesakit yang telah berjaya hamil, dia masih berhadapan dengan risiko keguguran yang lebih tinggi pada pesakit obes. Selain daripada itu, risiko kelahiran juga adalah tinggi termasuk kelahiran secara pembedahan, risiko pendarahan, risiko tersangkut bahu bayi (shoulder dystocia) dan juga risiko pembekuan darah yang boleh menyebabkan embolism atau darah beku menutupi saluran darah paru-paru. Embolism ini merupakan satu komplikasi berbahaya yang boleh menyebabkan kematian.
Justeru itu, antara langkah yang telah diambil baru-baru ini adalah pemberian suntikan ubat pencair darah bagi ibu-ibu berisiko tinggi untuk pembekuan darah dan ini termasuk ibu yang obes.
Menangani gejala obesiti adalah seperti melentur buluh dari rebungnya. Segala usaha dan gaya hidup sihat harus diterapkan dari rumah dan sekolah. Mengambil pemakanan dengan kalori yang berpatutan dan juga aktiviti jasmani harus dilakukan secara konsisten. Agama Islam mengajar umatnya untuk memilih makanan yang halal dan baik. Baik ini bermaksud menepati kehendak piramid makanan dan juga kalori yang bersesuaian. Islam juga mengajar umatnya untuk makan secara sederhana dan berhenti makan sebelum merasa kenyang. Ini semua adalah tips pemakanan bagi menangani gejala obesiti yang merisaukan.
Dr Murizah bt Mohd Zain
Konsultan Perbidanan dan Sakit Puan
Ketua Unit Infertiliti
Jabatan Perbidanan dan Sakit Puan
Hospital Sultanah Bahiyah
Alor Setar, Kedah
Ketua Wanita Isma Alor Setar
Aktivis I-Medik Kedah