#KitaJagaKita

Pengurusan Data Efektif Percepatkan Vaksinasi Covid-19

ihsan

Malaysia mempunyai 33 Juta penduduk yang merangkumi 24 Juta penduduk dewasa berusia 18 tahun ke atas. Ini merupakan kiraan berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh JKJAV. Untuk mencapai cakupan 80%, Malaysia masih memerlukan 6 juta rakyatnya dicucuk. Jika kadar vaksinasi maksimum adalah 300,000 sehari, Malaysia memerlukan 20 hari sahaja lagi untuk mencapai target 80% populasi dicucuk.

 

Namun begitu usaha PICK ini akan terbantut selagi wujud segelintir masyarakat yang masih sangsi dengan keberkesanan Vaksin COVID-19 dan kesan sampingan akibat vaksin yang semakin menular saban hari. Ini terbukti dengan kadar pendaftaran dan vaksinasi yang masih perlahan di sesetengah negeri walaupun telah dibuka peluang untuk walk-in sejak beberapa minggu yang lalu.

 

Malah terdapat sekumpulan ‘pengguna’ yang membawa idea pro-choice dan hak asasi mereka sedangkan mereka sedang memperjudikan nasib jutaan rakyat yang menyertai program imuniasi ini dengan baik. Fakta-fakta yang dikeluarkan oleh KKM dipertikaikan dan dituduh memalsukan data malah ada peguam yang menggelar doktor-doktor di Malaysia sebagai bodoh. Tindakan tegas hendaklah diambil oleh pihak berkuasa ke atas kumpulan ini.

 

Kes-kes yang meningkat mendadak berlaku di negeri-negeri yang masih rendah cakupan vaksinasi, malah masih ada negeri yang di bawah 50% seperti Kelantan dan Sabah. Ini memerlukan strategi baharu dari kerajaan selain PPV mobile atau outreach ke rumah-rumah.

 

Individu yang belum dicucuk perlu dikenalpasti dengan jelas jumlahnya di dalam setiap komuniti melalui jawatankuasa penduduk atau wakil rakyat dan NGO agar dengan cara itu mereka boleh dihubungi dan diberikan kaunseling sepatutnya agar menerima vaksin.

 

Fokus perlu diberikan kepada golongan dewasa yang belum divaksin khususnya mereka yang terlibat dalam sektor penting seperti pendidikan khususnya guru-guru dan pensyarah-pensyarah agar institusi pendidikan dapat dibuka dengan secepat mungkin. Kesan PDPR akan lebih parah khususnya buat pelajar yang miskin dan di luar bandar. Kita tidak mahu lebih ramai pelajar yang terpinggir.

 

Fokus juga perlu diberikan kepada pekerja-pekerja industri dan data berkaitan jumlah pekerja yang sudah diberikan vaksin hendaklah dikongsikan kepada umum.

 

Program vaksinasi sepatutnya membuka peluang kepada kerajaan membuat pemetaan semula atau profiling penduduk di Malaysia dengan mengetahui jumlah sebenar penduduk mengikut lokaliti kerana setakat ini wujud data yang tidak tepat kerana data penduduk hanyalah berdasarkan unjuran statistik dari bancian 10 tahun yang lepas sedangkan pembangunan dan migrasi penduduk berubah dengan pantas khususnya di bandar-bandar di Pantai Barat Semenanjung Malaysia. Adakah data yang kerajaan ada hari cukup untuk menguruskan pandemik dan membuat keputusan yang lebih tepat?

 

Dengan data dari vaksinasi juga kerajaan sepatutnya boleh mengetahui jumlah sebenar penduduk dengan komorbiditi kerana semasa kaunseling doktor di pre-vaccination assessment (PVA), data-data ini boleh dikemaskinikan. Malah data berkenaan sejarah alergi atau alahan juga boleh dikenalpasti dengan lebih baik. Ia boleh membantu perancangan kerajaan untuk program akan datang. Namun begitu jika tiada perancangan dan pengurusaan yang baik, data-data ini akan disia-siakan sahaja.

 

Ambillah peluang pandemik COVID-19 untuk lebih mengetahui keadaan sebenar rakyat Malaysia melalui pengurusan data yang efektif. KKM perlu berani membuat investment dalam sistem teknologi maklumat terkini dan pengurusan data serta melatih lebih ramai kakitangan kesihatan menggunakan perisian IT yang pastinya akan meningkatkan kecekapan pengurusan di setiap peringkat: daerah, negeri dan negara.

 

Meskipun ujian ini terlalu besar buat kita, namun ada banyak hikmah yang boleh diambil peluang untuk kita belajar dan perbaiki negara untuk masa depan yang lebih baik.

 

Dr Mohd Ihsanuddin Abas

Ketua Unit Kesihatan Awam, I-Medik

Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on whatsapp