Rawatan Alternatif vs Perubatan Moden

“Cerita ini adalah rekaan semata-mata, tiada kaitan dengan yang masih hidup mahupun yang sudah meninggal dunia”

.

.

.

Azmah terbaring di atas stretcher sambil ditolak masuk ke zon semi kritikal, keadaannya lemah. “Doktor, patient ni memang known case of breast CA, ambulans ambil di rumah sebab less responsive,” lapor MA kepada Dr Sham yang bertugas malam itu. Apabila beliau meneliti rekod Azmah, rupa-rupanya dia telah pun diberi dijadualkan untuk menjalani pembedahan mastektomi (buang payudara) tetapi dia telah tidak muncul pada hari tersebut.

 

Dua bulan lalu, doktor telah memberitahu Azmah bahawa ketulan sebesar 2cm pada payudara kanannya merupakan sel kanser. Ketika pertama kali mendengar berita tersebut, dunia Azmah terasa gelap dan dia terasa hendak pitam. Mujurlah ketika itu, suaminya Osman dan Razi, anak sulungnya yang sedang belajar di fakulti perubatan sedang bercuti semester, ada bersama untuk menenangkan Azmah di dalam bilik konsultasi doktor. Doktor kata, langkah awal dalam rawatan ialah, Azmah mesti menjalani pembedahan membuang payudara sebelah kanan bagi mengelakkan sel-sel tersebut merebak ke seluruh payudara dan organ-organ lain. Kemudian, doktor kata lagi kemungkinan Azmah perlu menjalani rawatan radioterapi, kemoterapi dan terapi hormon bergantung kepada keputusan makmal (histopatologi) payudara sebelah kanan dan imbasan radiologi. Setelah perbincangan dengan doktor dan ahli keluarga yang hadir, Azmah telah bersetuju untuk menjalani pembedahan yang bakal dijadualkan dalam minggu berikutnya.

 

Azmah pulang ke rumah dengan perasaan yang galau dan tertekan.

Dia betul-betul tidak bersedia untuk menerima berita buruk itu. Dia sangat takut untuk menghadapi kematian. Sama ada kematian disebabkan kanser, atau kematian kerana komplikasi pemedahan dan rawatan, kedua-duanya dia tidak bersedia.

 

Berita tentang penyakit Azmah telah diketahui oleh seluruh ahli keluarga dan saudara-mara. Ramai yang menziarahinya dan memberi kata-kata semangat kepada Azmah, termasuklah Mak Limah yang merupakan ibu saudara Azmah. Mak Limah telah mengesyorkan untuk Azmah pergi mendapatkan rawatan di Pusat Penawar Ibnu Sina yang terletak tidak jauh dari rumah Azmah. Katanya, ada rawatan untuk pesakit kanser yang lebih Islamik, tanpa bedah, tanpa toksin, tanpa radioterapi dan kemoterapi. Mak Limah kata, ada kenalan suraunya yang mendapatkan rawatan untuk kanser payudara telah sembuh sepenuhnya daripada kanser.

 

Azmah dan Osman termakan dengan pujukan Mak Limah, walaupun telah dinasihati dan dilarang oleh anaknya Razi. Pada hari yang sepatutnya Azmah menjalani pembedahan, Azmah telah dibawa oleh Mak Limah bertemu dengan Pak Ku, yang merupakan pemilik dan pengamal di pusat rawatan alternatif tersebut. Pada hari sebelumnya, memang Azmah ada menerima beberapa panggilan telefon daripada hospital, namun kesemuanya tidak dijawab.

 

Setelah menjalani beberapi sesi rawatan dengan Pak Ku, Azmah merasakan kesihatannya semakin merosot. Namun, menurut Pak Ku simptom itu disebabkan oleh proses pembuangan toksin dalam badan, dan akan hilang   beberapa tempoh. Ribuan ringgit telah dihabiskan oleh Osman semata-mata hanya untuk melihat Azmah kembali sihat dan ceria semula. Namun keadaan Azmah semakin buruk dan dia selalu mengadu sakit kepala. Payudara Azmah semakin lama semakin teruk, kulitnya membentuk ulser dan membusuk, serta didiami ulat sampah. Akhirnya, Osman terpaksa juga menyerahkan Azmah ke hospital dengan ambulans pada hari itu kerana dia muntah-muntah sehingga menjadi terlalu lemah.

 

. . . . . .  . . .

 

Hari itu, Razi sedang membuat persediaan untuk pembentangan subjek pada minggu hadapan.  Dia akan membentangkan tentang tokoh perubatan Islam terulung, Ibnu Sina. Apabila membaca literasi perubatan mengenai Ibnu Sina, dia menemui bahawa 1000 tahun lalu, Ibnu Sina ada melaporkan tentang kes kanser payudara tahap 4 (metastatik) di dalam kitabnya, Kanun Perubatan.

 

Ibnu Sina menegaskan bahawa penyakit kanser sepatutnya dikesan dan dirawat pada tahap awal, sebelum ianya menjadi ulser. Di dalam buku Encyclopedia of Alternative Medicine oleh Patricia Skinner menyebut, Ibnu Sina merupakan doktor pertama yang berjaya melakukan rawatan kanser. Ibnu Sina telah mendedahkan kaedah pembedahan kanser mestilah melibatkan pemotongan atau pembersihan salur limfa dan darah. Beliau menunjukkan ilustrasi di dalam buku Kanun Perubatan, seorang wanita yang telah berjaya dirawat dengan pembedahan mastektomi, dan kemudiannya sel kanser telah merebak ke payudara sebelah yang tidak dibedah. Laporan tersebut merupakan laporan terawal tentang kanser payudara metastatik di dalam dunia perubatan.

 

Bacaan Razi terhenti dengan deringan telefon bimbitnya. “Razi, kau balik sekarang, mak kat hospital ni,” cemas suara Osman di hujung talian.

 

. . . . . . . . . . .

 

Di hospital, Azmah menjalani imbasan CT dan Dr Sham memaklumkan bahawa sel kanser Azmah telah merebak ke hati, paru-paru dan otak. Doktor memberitahu kanser Azmah dikategorikan sebagai tahap 4. Rawatan yang boleh diberikan pada tahap ini lebih kepada rawatan paliatif, iaitu rawatan yang bukan menyembuhkan tetapi lebih kepada mengawal simptom, meningkatkan atau hanya mengekalkan kualiti hidup.

 

“Puan dan encik, saya tak larang puan nak pergi rawatan alternatif, tetapi kalau boleh janganlah tinggalkan terus rawatan hospital. Puan masih lagi memerlukan pemeriksaan lanjut daripada pakar perubatan. Sebenarnya, perubatan moden bukanlah mengagungkan kaedah perubatan Barat, tetapi ia adalah selari dengan ajaran Islam dan ada sebahagiannya diperkenalkan oleh tokoh-tokoh perubatan Islam sendiri,” nasihat Dr Sham kepada Azmah dan Osman. Kedua-duanya akur dan faham. Osman berharap masih ada lagi peluang untuk memberikan rawatan terbaik buat Azmah.

 

Siti Sarah Amran

18 Ogos 2019

Bandar Baru Bangi

Leave a Comment