Seminar Fiqh Ramadhan Meriahkan Kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Lok Kawi

seminar fiqh ramadhan

KOTA KINABALU, 15 Jun – Pertubuhan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) Kota Kinabalu dengan kerjasama Markas Briged Kelima Infantri Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Kem Lok Kawi Kota Kinabalu telah mengadakan Seminar Fiqh Puasa Ramadan 2015, kelmarin. Program yang bermula pada jam 8 pagi di Masjid As-Salam Kem Lok Kawi itu adalah julung-julung kali diadakan dan telah dihadiri seramai 230 orang warga ATM.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah sesi forum ‘Indahnya Puasa Ramadan’ yang menampilkan Leftenan Mohammad Sufian bin Sahak, pegawai agama ATM dan Ustaz Sarip bin Adul, pensyarah di Universiti Malaysia Sabah, merangkap YDP ISMA Kota Kinabalu.

Ustaz Sarip dalam ucapannya berkata, “Ramadan bulan maghfirah (keampunan). Hadis-hadis sahih tentang puasa, memakmurkan malam Ramadan dengan solat tarawih dan Lailatul Qadr serta memberi makan kepada orang untuk berbuka puasa, kesemuanya tertumpu pada satu objektif yang sama iaitu supaya Allah mengampunkan dosa mereka jika mereka melakukannya dengan penuh keimanan dan pengharapan. Pengampunan dari dosa cuma akan diperlukan oleh orang yang merasakan dirinya banyak dosa. Golongan ini akan menghargai setiap saat dalam bulan Ramadan. Manakala golongan yang merasakan dirinya sedikit dosa atau yakin bahawa masuk syurga itu mudah, bulan Ramadan bagi mereka sama seperti bulan-bulan lain.”

Turut hadir pada seminar tersebut ialah Dr Mohamad Hatta Mohamad Tarmizi, pengerusi I-Medik Sabah dan Dr Fatin Nadia, pegawai pergigian di Hospital Queen Elizabeth (HQE). Dr Mohamad Hatta telah membentangkan tentang puasa Ramadan dan isu-isu perubatan yang berkenaan, manakalah Dr Fatin Nadia pula telah menyampaikan tip-tip penjagaan kesihatan mulut pada bulan Ramadan.

Selain itu, pihak pelaksana turut menjemput Unit Tabung Darah Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) bagi menjayakan aktiviti derma darah sepanjang program berlangsung.

“Program ini banyak memberi input kepada semua pegawai ATM yang hadir. Semoga dengan berakhirnya program ini, kita sama-sama dapat menghayati dengan sebenar-benarnya puasa Ramadan yang bakal tiba. Dan saya berharap agar kerjasama seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang. Tahniah saya ucapkan buat I-Medik Sabah dan terima kasih juga buat tetamu jemputan yang lain dari ISMA, HQE dan HWKKS,” ujar Kapten Dr Nur Aina, Kor Perubatan Diraja ATM Kem Lok Kawi.

Leave a Comment