Sikap Sabar, Toleransi dan Sepakat Diperlukan Semasa PKPB

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah bermula 4 Mei lepas dengan pengenalan beberapa prosedur operasi standard (SOP) yang telah dikeluarkan oleh MKN.

Rakyat kini mula mengadaptasikan diri dengan kehidupan dan norma baharu mengikut garis panduan yang ditetapkan di mana sahaja, kedai, tempat kerja, taska dan dalam pengangkutan awam.

Proses SOP yang pelbagai khususnya saringan suhu dan gejala di pintu-pintu masuk pengangkutan awam, kedai dan pejabat pastinya akan mengambil masa yang lama dan meletihkan.

Apa yang diperlukan sekarang adalah sifat Sabar dan Bertoleransi diamalkan oleh semua agar kita sama-sama dapat melakukan SOP ini dengan baik.

Norma kehidupan rakyat hendaklah berubah selari dengan garis panduan dan tidak lagi boleh melakukan aktiviti atau kerja tanpa perancangan yang tersusun.

Pengurusan masa amatlah penting, rakyat perlu merancang awal pergerakan ke mana-mana tempat dengan mengambil kira kelewatan yang boleh berlaku.

Majikan-majikan pula hendaklah bertimbang rasa dengan memberi masa anjal kepada pekerja atau membuat penjadualan kerja supaya tidak berlaku kesesakan di tempat kerja seperti sebelum ini.

Waktu beroperasi juga mungkin terpaksa dipanjangkan tetapi lebih anjal mengambil kira masa yang diambil pelanggan untuk ke satu-satu destinasi.

Justeru sikap sabar, toleransi dan berusaha untuk berkomunikasi mencapai kesepakatan amatlah diperlukan agar semua dapat melakukan aktiviti yang diperlukan di musim PKPB ini dengan baik.

Semoga kita terus boleh istiqamah dengan perubahan baru ini demi untuk keselamatan diri dan orang lain dari dijangkiti COVID-19.

Oleh :
Dr Mohd Ihsanuddin Abas
Unit Penyelidikan dan Penerbitan I-Medik

#KesihatanAwam
#COVID19
#KawalanPenyakitBerjangkit

Leave a Comment