SUMBING BIBIR DAN KESIHATAN

Sumbing bibir adalah satu masalah kesihatan kongenital yang selalu terjadi di seluruh negara. Kajian mengatakan 1 di antara 500 bayi yang dilahirkan di seluruh dunia mendapat sumbing bibir dan lelangit. Kadar insiden ini berbeza mengikut negara dan terkait dengan pelbagai faktor seperti genetik, kesihatan ibu sewaktu mengandung dan persekitaran.

“Cleft lip” atau pembukaan bibir berlaku di mana bibir pesakit tidak tertutup sepenuhnya sejak lahir. Ianya boleh dibahagikan kepada jenis lengkap, separa lengkap dan microform, dan berlaku di bahagian sebelah sama ada kiri atau kanan atau di kedua dua belah bibir.

Sumbing lelangit atau “cleft palate” adalah sumbing yang berlaku di lelangit samada di bahagian lembut lelangit dan boleh melibatkan bahagian keras lelangit sehingga bergabung dengan sumbing bibir. Pesakit boleh menghidapi sumbing bibir atau lelangit sahaja atau kedua-duanya sekali.

cleft 1

Secara ringkas, pembentukan bibir berlaku sejak minggu ke-5 kehamilan dimana tisu atas bibir naik keatas dan berputar dari posisi menegak ke posisi melintang dan bercantum dengan tisu hidung yang berada di tengah. Kegagalan proses ini akan menyebabkan sumbing di bibir berlaku.

Pesakit sumbing bibir dan lelangit biasanya mempunyai keadaan pemikiran dan fizikal yang normal. Namun, sumbing di bibir dan lelangit juga boleh berlaku dan berkait bersama kecacatan fizikal atau penyakit-penyakit yang lain. Kadar kes bayi sumbing bibir dan lelangit yang mempunyai penyakit lain berbeza pada setiap negara. Pesakit biasanya akan dirujuk kepada pakar pelbagai bidang sewaktu proses rawatan.

Pesakit sumbing bibir akan mengalami beberapa masalah, antaranya masalah penampilan wajah, pemakanan, pertuturan, masalah cecair keluar dari telinga, pertumbuhan dan kesihatan gigi, serta pertumbuhan muka.

Rawatan pembedahan bibir biasanya dilakukan apabila bayi berumur 3-6 bulan dan pembedahan lelangit antara 6-12 bulan bergantung kepada kelebaran pembukaan dan tahap kesihatan bayi. Kebiasannya, bayi yang mempunyai penyakit sumbing bibir atau lelangit akan mendapat rawatan susulan sehingga dewasa. Jika bayi menghidap sumbing di bibir, bayi tersebut mempunyai ‘gap’ atau ruang di bahagian gusi di mana mungkin satu pembedahan penampalan tulang dibahagian gusi akan dilakukan pada umur belasan tahun setelah gigi kekal tumbuh menggantikan gigi susu. Proses pembentukan semula hidung atau rhinoplasty pula akan dilakukan biasanya sewaktu pesakit berusia 17-18 tahun.

cleft 2

Salah satu perkara yang merunsingkan ibu bapa adalah masalah sosial bila berhadapan dengan masyarakat yang memandang negatif bayi yang mempunyai sumbing bibir dan lelangit. Ibu bapa tidak perlu risau kerana di Malaysia terdapat satu badan bukan kerajaan iaitu Cleft Lip and Palate Association Malaysia (CLAPAM) yang ditubuhkan untuk memberi bantuan kepada ibu bapa yang mempunyai anak sumbing bibir dan lelangit serta bimbingan serta kaunseling. Terdapat juga satu group di media sosial Facebook iaitu Cleft Lip & Palate Malaysia (Klef) yang ditubuhkan sebagai satu medium untuk ibu bapa yang mempunyai anak sumbing bibir berkongsi masalah, pendapat dan secara tidak langsung mendapat sokongan emosi  antara satu sama lain.

 

Dr.Hanis

Dr Mohd Hanis Mohd Nor
Pegawai Perubatan Jabatan Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif Hospital Kuala Lumpur.
Ahli Jawatankuasa Pusat I-Medik.

Leave a Comment