TPPA Melindungi monopoli syarikat farmaseutikal

Ikatan Pengamal Perubatan Dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) membantah keras rancangan perjanjian Trans Pacific Partnership Agreement (TPPA), sebuah dasar luar Amerika Syarikat melibatkan 11 negara di lingkungan Pasifik termasuk Malaysia, dalam menjaga kepentingan dan pengaruh mereka di Asia.

Dalam sektor kesihatan, melalui perjanjian ini, Amerika Syarikat ternyata melindungi kepentingan pekerja-pekerjanya dalam sektor perkhidmatan khususnya gergasi farmaseutikal yang dapat dilindungi dengan menguasai pasaran eksport ubat-ubatan dan teknologi perubatan yang lebih luas. Syarikat multinasional mereka dengan mudah dapat menembusi pasaran tempatan negara yang terbabit.

APAKAH IMPAK TPPA KEPADA SEKTOR KESIHATAN?

Apa yang pasti, kos ubat-ubatan akan meningkat bagi negara-negara yang tertakluk dibawah perjanjian TPPA. Ini kerana, negara-negara ahli akan terpaksa akur dengan syarat-syarat baru harta intelek TPPA yang akan membatalkan syarat-syarat harta intelek sedia ada bagi negara terbabit.

Malaysia mempunyai satu badan yang telah dikorporatkan dalam tahun 2003, yang bertanggungjawab dalam pengurusan harta intelek dan paten iaitu Perbadanan Harta Intellek Malaysia (PHIM) dibawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). Badan ini sebelumnya, telah bertanggungjawab membentuk berbagai akta perdagangan, termasuklah Akta Paten 1983. Melalui penjenamaan semula, pada tahun 2005, PHIM ditukar akronim sebagai MyIPO.

APAKAH PATEN?

Menurut MyIPO, paten adalah satu hak eksklusif yang dianugerahkan oleh pihak kerajaan untuk suatu rekacipta baru sama ada ia adalah satu produk atau satu proses. Perlindungan Paten adalah selama 20 tahun dari tarikh ia difailkan.

Paten akan dianugerahkan apabila ia menepati ciri-ciri berikut:

a) Baru (Novelti)
b) Melibatkan langkah merekacipta
c) Boleh digunakan dalam mana-mana industri.

PATEN UBAT-UBATAN DAN GENERIK

Apabila syarikat farmaseutikal mengeluarkan sesuatu ubatan baru buat pertama kali (biasanya syarikat farmaseutikal multinasional), ia akan didaftarkan di bawah nama khusus bagi syarikat tersebut, memperolehi paten dimana hanya syarikat terbabit boleh mengeluarkan, memasarkan dan menerima keuntungan dari jualan ubat-ubatan tersebut. Tempoh paten ini di kebanyakan negara termasuk Malaysia adalah 20 tahun.

Apabila tempoh paten ini telah tamat, syarikat ubat-ubatan yang lain (yang lazimnya merupakan pesaing syarikat multinasional yang lain, syarikat yang lebih kecil dan syarikat tempatan) dibenarkan menghasilkan ubat yang sama yang telah dibuktikan mempunyai keberkesanan, keselamatan, cara pengambilan yang sama juga sifat farmakodinamik dan farmakokinetik yang sama. Ubat yang dihasilkan selepas tempoh paten tamat ini dipanggil ubat generik. Perlumbaan syarikat- syarikat ubat bagi menghasilkan ubat generik ini menghasilkan suasana persaingan yang sihat apabila harga ubat menjadi lebih rendah. Tujuan ubat generik juga adalah untuk memberi ‘access’ dan pilihan ubat kepada orang ramai di mana-mana negara yang mendaftar ubat tersebut.

11742827_941670692565501_6870949665930810006_n

Sebagai contoh, dilaporkan ubat seperti paracetamol dikeluarkan secara generik oleh lebih 1500 syarikat (di India sahaja oleh lebih hampir 4000 syarikat) menyebabkan harganya mampu dimiliki oleh golongan miskin.

TPPA MELINDUNGI MONOPOLI SYARIKAT FARMASEUTIKAL MULTINASIONAL DAN MENGHALANG PENGELUARAN UBAT YANG LEBIH RENDAH KOSNYA.

Menurut perjanjian baru TPPA seperti yang di draf oleh Amerika Syarikat dalam satu dokumen yang telah didedahkan, dalam artikel 8.1, syarikat farmaseutikal boleh memanjangkan tempoh paten mereka apabila syarikat farmaseutikal diberi lebih hak untuk merangka syarat perjanjian paten mereka sendiri. Ini termasuk apabila syarikat-syarikat ini menambah “kegunaan baru” ubat-ubatan mereka dan ” cara-cara baru mereka menghasilkan ubat berkenaan” walaupun paten ubat asal hampir tamat. Ini digelar oleh penganalisa sebagai ‘evergreening’ dan akan melewatkan ubat-ubat generik yang lebih murah masuk ke pasaran.

Sebelum ini, syarat-syarat pemberian paten adalah tertakluk kepada negara di mana ubat tersebut akan dipasarkan, dalam konteks negara kita oleh MyIPO dan berdasarkan keperluan industri tempatan. Negara Malaysia akan kehilangan hak perundangan sendiri dalam menentukan paten dan harta intelek apabila ia tertakluk kepada perjanjian TPPA. Industri syarikat farmaseutikal tempatan akan terjejas teruk akibat monopoli ini.

Sebuah NGO terkenal, Doctors Without Borders berpendapat bahawa syarat harta intelek yang agresif dipihak TPPA hanya akan memanfaatkan pengeluar dan membebankan sektor kesihatan awam.

TPPA MELEMAHKAN POLISI KESIHATAN KERAJAAN

Hillary Clinton, bekas Setiausaha Negara US sendiri, menyatakan dalam bukunya “Hard Choices”, bahawa dibawah ” Investor State Dispute Settlement”, iaitu salah satu dari beratus-ratus perjanjian dimeterai dibawah TPPA, hak diberikan kepada pelabur seperti syarikat farmaseutikal untuk menyaman kerajaan sekaligus melemahkan polisi kesihatan sesebuah negara.

Seperti yang dinyatakan di atas, tempoh paten biasanya adalah 20 tahun. Dengan klausa yang dibentangkan oleh TPPA, tempoh paten ini berupaya dipanjangkan lagi sehingga hampir 20 tahun lagi, seperti yang dinyatakan oleh Medical Journal of Australia.

Akhir sekali, dalam artikel 8.2 dokumen yang sama, US mencadangkan paten adalah termasuk kaedah mendiagnos penyakit, merawat pesakit dan kaedah pembedahan ke atas manusia ataupun haiwan.

Sedangkan di bawah Malaysia Patent Act 1983, perkara dibawah tidak termasuk paten iaitu; kaedah mendiagnos, merawat dan kaedah pembedahan ke atas manusia ataupun haiwan.

TPPA dengan ini memungkinkan pertambahan kos dalam pengurusan hospital dan sistem kesihatan kerajaan Malaysia apabila pihak hospital contohnya mesti mempunyai lesen untuk rawatan yang telah dipatenkan. Doktor-doktor pula dibimbangi perlu membayar royalti untuk kaedah mendiagnos, merawat dan kaedah pembedahan yang mereka gunakan dengan tafsiran artikel ini.

11781602_941670702565500_6405662285911837317_n

Oleh kerana itu, I-Medik mendesak kerajaan untuk tidak menerima TPPA demi kemaslahatan kesihatan rakyat Malaysia.

Prof Dr Aziz Ayob
Setiausaha Agung I-Medik

Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar
Naib Presiden II, I-Medik

BANTAH TPPA DI

http://www.janganjualnegara.com/#/

Leave a Comment