Tutup lubang konotasi lucah dalam iklan,drama dan filem kita

MASYARAKAT semakin terkepung dengan desakan nafsu seksual, terutama anak remaja. Kajian penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2023 menyimpulkan 75 peratus daripada remaja di negara ini mengaku pernah menonton video atau gambar lucah.

Realitinya, ia tidak berlaku dalam tempoh sehari, tetapi lubang provokasi dan konotasi lucah terbuka sedikit demi sedikit. Cuba amati sekeliling kita, hampir setiap sudut iklan akan wujud anasir menggeletek titik berahi.

Agama kita menetapkan video dan gambar lucah menjijikkan. Sekiranya tidak dirintangi, ia akan membawa kecanduan pornografi, sekali gus terus menarik ke arah seks bebas dan seks luar tabii.

Sebenarnya, hal ini bukan hanya dalam bentuk digital boleh diakses melalui telefon bimbit, sebaliknya remaja boleh terdedah kepada pemaparan papan iklan gergasi tidak segan-silu mengiklan produk mempunyai unsur lucah secara terang atau subliminal, umpamanya ubat kuat lelaki atau ubat perawan untuk wanita mencuit benak remaja.

Liberalisasi dalam modus pengiklanan boleh mendorong remaja kepada alam lucah secara digital. Cuba berkunjung ke pusat beli-belah, terdapat seksyen jualan pakaian dalam mempamer model seksi hanya menutupi bahagian sulit, malah rak minyak wangi juga menggunakan model separuh bogel.

Begitu juga televisyen yang dahulunya menjadi ejen perubah minda rakyat ke arah kebaikan dan sumber maklumat tidak terlepas daripada dinodai adegan bersulamkan soft porn.

Drama dengan skrip yang ditulis secara tidak bertanggungjawab memancing penonton dengan alasan ia karya romantis pasangan suami isteri. Hubungan intimasi itu sepatutnya perlu disembunyikan daripada penonton bawah umur.

Babak menimbulkan konotasi lucah itu, sepatutnya tidak muncul dalam drama di stesen televisyen tempatan. Walaupun banyak pihak selalu menegur penggiat industri, stesen televisyen dan penerbit filem, mereka seolah-olah menjadi lebih berani membuat provokasi untuk mengukur sejauh mana tindak balas Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Lembaga Penapisan Filem (LPF).

Justeru, lingkungan stimulasi seksual remaja perlu dikawal, manakala kaedah pemasaran produk perlu disemak semula. Iklan daripada papan gergasi hingga di rak produk, gambar model seksi atau berunsur syahwat perlu diubah secara menyeluruh.

Pada masa sama, penerbit filem dan drama usah sombong untuk menerima teguran pelbagai pihak, terutama ilmuwan terhadap hidangan kontroversi diselitkan dalam karya. Teguran itu turut mewakili ibu bapa risau terhadap kehadiran gejala cuba menyelinap masuk ke dalam keluarga melalui televisyen.

LPF juga perlu lebih tegas menggariskan syarat ketat dan mengumumkan garis panduan baharu agar babak soft porn turut dikekang. Kita tidak mahu penerbit memberi alasan ‘filem sudah pun dihasilkan’ atau ‘jika rugi siapa akan membayar pelakon kami.’

Pantau aktiviti anak dalam talian

Hakikatnya, usaha membanteras pornografi juga memerlukan tunjangan utama ibu bapa kerana mereka berkuasa mengawal selia bagaimana dan apa dilihat anak. Zaman untuk ibu bapa memberi kepercayaan 100 peratus kepada anak sudah tamat, kerana liang syaitan meracun minda anak dengan pornografi begitu banyak tanpa kita sedari.

Ibu bapa perlu menggunakan aplikasi kawalan internet keluarga untuk memantau aktiviti dalam talian anak. Istilah kebebasan memilih amat berbahaya kepada anak remaja belum sepenuhnya tahu baik dan buruk, dosa dan pahala, belum lagi teguh identiti diri dan mungkin masih mencari-cari makna cinta dan perhubungan.

Bukan setakat itu, mereka perlu memeriksa secara rutin laman dilayari secara terus ke peranti kerana baik in cognito atau Rangkaian Peribadi Maya (VPN) boleh membuka ‘terowong’ untuk menyembunyikan alamat IP dan mengunci trafik maya agar tiada siapa pun dalam rangkaian tempatan dapat mengurai jejak mereka.

Pujian harus diberikan kepada ibu bapa menghentikan aktiviti internet apabila masa anak remaja perlu ditumpukan pada ulang kaji pelajaran, ketika bersama keluarga dan ketika anak remaja hendak tidur di bilik masing-masing. Sesetengah mereka mengumpul dan mengunci peranti di dalam kotak untuk mencegah anak daripada curi-curi menggunakannya tanpa disedari.

Matlamat akhir pornografi ini adalah kemusnahan moral bangsa dan kehancuran akhlak. Sekiranya kita mengikut kaca mata Barat yang menormalisasikan pornografi sebagai kaedah pemuas syahwat bersifat peribadi, kita silap kerana kesan buruk budaya pornografi ini akan meranapkan sebuah tamadun.

Penulis adalah Ketua Sektor Kejururawatan Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik)

Leave a Comment