#KitaJagaKita

Utusan Borneo: Lengkap Vaksin Sebelum Sekolah Bermula

vaksin borneo

KUCHING: Sarawak menyasarkan remaja berusia 16 hingga 17 tahun lengkap dua dos suntikan vaksin sebelum sesi sekolah bermula pada 3 Oktober 2021 menerusi pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 dalam kalangan remaja 12 hingga 17 tahun.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak yang memulakan pelaksanaan berkenaan pada hari ini yang juga merupakan negeri pertama di Malaysia dimulakan dengan mereka berusia 16 hingga 17 tahun.

“Pada peringkat awal, program imunisasi untuk remaja akan menyasarkan dua kumpulan sasar iaitu semua remaja berusia 12 hingga 15 tahun yang berkomorbid dan remaja berusia 16 hingga 17 tahun.

“Kita menyasarkan remaja 16 hingga 17 tahun akan lengkap divaksinasi dua dos sebelum sesi sekolah bermula pada 3 Oktober..ini adalah sasaran kita,” katanya pada sidang media pelancaran Vaksinasi Remaja Berumur Bawah 18 Tahun di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Klinik Kesihatan Telaga Air di sini.

Sementara itu katanya, pemberian imunisasi COVID-19 bagi kumpulan remaja berusia 12 hingga 15 tahun yang sihat dijadualkan bermula pada penghujung September 2021 bergantung kepada stok bekalan vaksin yang diterima nanti.

Abang Johari berkata, bagi kumpulan ini ia dijangka lengkap vaksinasi pada minggu keempat Oktober 2021.

Beliau berkata, selain itu klinik kesihatan juga pada masa sama akan memberikan perkhidmatan imunisasi kepada pelajar asrama yang masih berada di kampung termasuk remaja tidak lagi bersekolah.

Sementara itu katanya bagi bahagian Kuching, sebanyak 69 buah sekolah terlibat dengan 20,990 pelajar berusia 16-17 tahun akan menerima vaksin COVID-19 mulai 8 September.

“Bagi kawasan luar bandar, Program Outreach Imunisasi COVID-19 Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak melalui Pejabat Kesihatan Bahagian akan ke sekolah yang terlibat untuk memberikan imunisasi kepada murid dan pelajar berusia 12 hingga 17 tahun.

“Ia terutama di bahagian Kapit melibatkan 16  buah sekolah dengan 9,334 pelajar dan bahagian Miri melibatkan dua buah sekolah meliputi 207 pelajar, ini adalah untuk program outreach sahaja,” katanya.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Tahun 2021, jumlah populasi remaja berusia di antara 12 hingga 17 tahun di Sarawak adalah seramai 289,200 orang merangkumi 10.3 peratus dari keseluruhan populasi Sarawak.

Daripada jumlah itu kumpulan remaja berusia 16-17 tahun adalah seramai 96,400 meliputi 3.4 peratus populasi penduduk Sarawak manakala kumpulan remaja berusia 12 hingga 15 tahun seramai 192,800 atau 6.9 peratus.

“Kita menggalakan ibu bapa membawa anak-anak mereka yang layak mendapatkan vaksinasi di PPV yang ditetapkan serta klinik kesihatan yang terlibat menerusi program outreach yang diadakan.

“Sistem yang digunakan adalah seperti sistem yang digunapakai oleh dewasa layak dalam program imunisasi sebelum ini, dimana temu janji mengikut sekolah di setiap PPV ditetapkan,” katanya.

Pada program imunisasi hari ini, seramai 379 pelajar dari SMK Sri Matang dijangka menerima vaksinasi di Klinik Kesihatan Kampung Telaga Air.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Muda Bekalan Air, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi  dan Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Mohamed Sapian Mohamed.

Sumber: Utusan Borneo 8 September 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on whatsapp