Warga Emas dan Kesihatan

Kisah Warga Emas dan Kesihatan

Seorang lelaki tua dalam usia 70an sedang menjamu selera di cafe HUKM disapaku. Rupa-rupanya datang mengambil ubat di HUKM sambil menunggu isterinya di Hospital Rehabilitasi Cheras yang sedang dalam rawatan selepas Strok yang menyebabkan lumpuh separuh kiri tubuhnya.

Pakcik ini asalnya dari Kuantan dan tinggal bersama isterinya sehinggalah pertengahan bulan Ogos apabila isterinya diserang Strok dn pada mulanya dibawa ke Hospital Tuanku Afzan Kuantan. Namun disebabkan tiada fasiliti wad rehabilitasi di Kuantan maka terpaksa dihantar ke Cheras sejak 22 Ogos baru-baru ini.

Pastinya terfikir bagaimana pakcik boleh survive di Kuala Lumpur untuk membantu jaga isteri di wad Hospital Rehabilitasi Cheras? Di mana dia boleh tinggal dan bagaimana cara berulang-alik ke hospital? Berapakah pula kos makan, tempat tinggal dan pengangkutan? Siapakah yang dapat membantu jika kekurangan wang dan kemudahan?

Persoalan kehidupan pasca Pencen atau Warga Emas bermula umur 60 tahun rata-rata di Malaysia ini tidak pernah mendapat satu perbincangan yang serius. Tidak semua berpencen dengan wang pencen atau simpanan yang selesa. Tidak semua masuk era tua dengan keadaan tubuh badan sihat tidak berpenyakit. Rata-rata warga emas akan mempunyai sekurang-kurangnya satu penyakit kronik atau penyakit tidak berjangkit (NCD) yang memerlukan rawatan susulan yang panjang, komprehensif dan holistik. Apakah jaminan keselamatan sosial yang sudah kita ada untuk warga emas untuk kemudahan mereka di hari tua?

Isu ini adalah isu kita bersama kerana kita semua akan meningkat usia tua. Pada masa itu janganlah pula kita menangisi nasib yang tidak baik dan menyalahkan anak-anak dan kerajaan jika tidak dapat membantu. Mulalah dari sekarang untuk serius bincang hal kehidupan warga emas kerana kelak apabila sampai masanya kita telah pun bersedia.

Pelanjutan usia bersara ada positifnya khususnya bagi yang kurang berkemampuan selepas usia persaraan. Ia juga penting bagi menambah simpanan untuk persaraan. Namun pada masa yang sama Jaminan Kesihatan dan Keselamatan Sosial Warga Emas juga perlu diadakan agar memastikan kesihatan dan kebajikan di masa tua kita terjaga.

Selain itu fasiliti kesihatan hendaklah ditambah dan dipertingkatkan kualitinya. Menuju Negara Tua 2030 kita memerlukan khidmat perubatan Geriatrics dan Rehabilitation yang lebih banyak dan melata di seluruh negara. Kita tidak mahu lagi pesakit perlu datang jauh semata-mata untuk rawatan hanya kerana kita tidak peka untuk menyediakan bagi kemudahan dan kualiti hidup mereka.

Dr Mohd Ihsanuddin Abas
MPH UKM
Unit Kesihatan Awam, i-Medik
#HealthcareManagement
#KesihatanAwam
#EkonomiKesihatan

Leave a Comment