Waspada kesan kenaikan kos sara hidup terhadap kesihatan mental

Biarpun ungkapan wang bukan segala-galanya sering dimadahkan, hakikatnya kesejahteraan individu bergantung rapat dengan kestabilan kehidupan. Kestabilan hidup pula bergantung kepada perkara asas seperti makanan, tempat tinggal, pekerjaan dan kemampuan menyara hidup sehari-hari.

Oleh itu, status kesihatan individu turut bergantung kepada status ekonomi. Contohnya, individu dalam kesempitan ekonomi dan hidup melarat akan sukar mendapat akses makanan sihat, bantuan perubatan optimum serta lebih terdedah kepada sesetengah penyakit seperti penyakit berjangkit.

Begitu juga aspek kesejahteraan emosi. Kesihatan mental bergantung rapat keadaan persekitaran dan sosioekonomi individu. Dua faktor itu akan menyumbang punca tekanan mental dan turut menjadi faktor pelindung kepada masalah mental.

Kedudukan ekonomi, kerjaya, kestabilan sumber pendapatan, kesejahteraan tempat tinggal, bilangan tanggungan dan bebanan hutang antara faktor akan menentukan status kesihatan mental seseorang.

Kajian Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) secara global mendapati kadar bunuh diri berkait rapat kadar jurang kesamarataan pendapatan diukur berdasarkan Gini Coefficient. Ini bermakna, semakin besar jurang antara kaya dengan miskin, semakin banyak berlaku tekanan akhirnya membawa masalah mental seperti bunuh diri.

Begitu juga kajian menunjukkan trend peningkatan kes kemurungan, penyalahgunaan dadah, keganasan rumah tangga dalam tempoh kegawatan ekonomi sekitar lewat 1990-an.

Kenaikan kos sara hidup banyak diperkatakan akhir-akhir ini, turut dijangka memberi kesan kepada sebahagian besar rakyat.

Kenaikannya akan mengurangkan sumber kewangan individu dan keluarga, akhirnya boleh menjadi faktor mengganggu keperluan asas seperti makanan, pakaian, tempat tinggal dan pendidikan.

Apabila keperluan asas terjejas, ia akan mencetus tekanan, sekali gus menimbulkan konflik dan menumbuhkan emosi negatif seperti putus asa, bersalah serta kekurangan diri, akhirnya memberi impak emosi jangka panjang.

Ia juga memberi kesan kepada kemampuan individu mendapatkan bantuan. Individu mengalami tekanan sekalipun mungkin tidak mampu pergi mendapatkan rawatan kerana perlu bekerja lebih masa bagi menampung kenaikan kos.

Bagi yang bergaji hari, hadir janji temu ke hospital bermakna pendapatan hari berkenaan terjejas. Tidak hairan ada sanggup menutup sebelah mata keperluan diri demi meneruskan kelangsungan hidup.

Stres, kemurungan, kebimbangan melampau, penyalahgunaan dadah dan alkohol, perbuatan mencederakan diri serta bunuh diri, keganasan rumah tangga antara manifestasi tekanan emosi sering dikaitkan tekanan hidup.

B40, individu tidak mempunyai tempat tinggal, pekerjaan stabil dan sokongan sosial, wanita dan golongan muda, memiliki sejarah penyakit mental dan penggunaan bahan terlarang antara golongan rentan perlu diberi perhatian.

Pada masa sama, perhatian perlu diberikan kepada anak-anak kelompok miskin dan kurang berkemampuan yang biasanya terkesan secara tidak langsung akibat kesempitan ekonomi keluarga.

Masyarakat Malaysia terkesan disaran memerhatikan tanda awal masalah mental pada orang sekeliling termasuk perubahan emosi seperti murung, mudah marah, cemas dan gelisah, perubahan tingkah laku umpamanya suka menyendiri, mencederakan diri, hilang selera makan, gangguan tidur serta sebarang perubahan fikiran contohnya timbul fikiran putus asa, hilang harapan, sukar fokus serta idea mencederakan diri.

Kita perlu mengenal pasti individu risiko, belajar mengurus tekanan secara sihat seperti berkongsi dengan orang dipercayai, bersedia mendapatkan bantuan jika perlu, elakkan menggunakan cara negatif seperti bahan terlarang atau melepaskan tekanan dengan keganasan.

Sokongan keluarga dan orang sekeliling juga penting. Sistem sokongan komuniti seperti jiran, ketua komuniti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) setempat harus berperanan.

Jika isu kesihatan mental pada fasa ekonomi mencabar tidak diberi perhatian, ia boleh membawa peningkatan kes penyakit mental kronik seperti kemurungan berpanjangan, bipolar dan skizofrenia.

Jika tidak dibantu, mereka boleh berisiko mendapat komplikasi seperti mencederakan diri dan orang lain. Ia juga akan mengganggu kefungsian individu terkesan seperti hilang kemampuan bekerja, mengurus diri dan keluarga.

Semua pihak perlu ambil berat – daripada individu hingga pihak berkuasa. Perlu ada mekanisme efektif mengesan individu berisiko, meningkatkan akses bantuan, mengutamakan bantuan kewangan lestari kepada individu terkesan, mengambil berat golongan rentan seperti wanita, ibu tunggal serta golongan muda.

Sediakan lebih banyak fasiliti kerajaan dengan akses kaunseling sebagai penampan bagi menampung bebanan rujukan ke klinik pakar psikiatri. Gembleng usaha NGO, agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi dan badan agama.

Masyarakat pula perlu mengambil tahu kebajikan jiran dan keluarga jauh, hulurkan bantuan dan jangan prejudis terhadap individu memerlukan bantuan psikiatri.

Pakar Psikiatri dan Penolong Professor Kuliyyah Perubatan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

-BERITA HARIAN ONLINE

Leave a Comment