#KitaJagaKita

Wujudkan Lebih Banyak Ruang Kerjaya untuk Jururawat Saintis

featured image i medik saintis

Profesion sebagai seorang jururawat saya kira telah menjadi lebih popular setelah wabak COVID-19 melanda negara. Masakan tidak, setiap hari negara menitipkan doa dan ucapan kepada para barisan hadapan ini agar mereka sentiasa kuat bertarung demi ‘memerdekakan’ negara daripada ancaman wabak jahat COVID-19 yang telah meragut lebih 1700 nyawa di dalam negara.

Begitulah darjat kerjaya ini diangkat kerana kemuliaannya merisikokan nyawa untuk menyelamatkan nyawa rakyat jelata yang lain. Kegigihan dan keberanian jururawat menggalas tugas berat untuk negara ini tiada siapa dapat merasainya melainkan mereka menyarung sendiri pakaian bak angkasawan dan berhadapan secara nyata dengan pesakit COVID-19.

Tekanan mental dan fizikal dalam kalangan jururawat benar-benar wujud. Apakah yang mendorong jururawat sehingga sanggup membahayakan nyawa sendiri dan keluarga untuk orang yang tidak pun mereka kenali? Saya tidak merasakan mereka mengidam-idamkan elaun khas RM400 untuk para barisan hadapan dalam situasi genting ini.

Apa yang kita boleh jangkakan terhadap perkembangan kerjaya jururawat semasa dan selepas COVID-19? Adakah para pelajar di sekolah terinsipirasi dengan watak hero yang diangkat ini? Ataupun menjadi takut untuk bercita-cita untuk menjadi jururawat kerana tingginya risiko pekerjaannya? Tiada siapa yang pasti.

Penambahan jururawat yang dilakukan kerajaan baru-baru iaitu seramai 4,472 jururawat kontrak sudah pasti akan mengecilkan nisbah jururawat kepada pesakit yang kini dianggarkan satu jururawat kepada 302 pesakit (nisbah cadangan WHO adalah 1:200).

Pihak kementerian kesihatan boleh mula menyusun strategi agar jururawat kontrak ini dikekalkan dalam perkhidmatan dengan mewujudkan dan mengembangkan struktur jururawat seperti yang telah dicadangkan ramai ahli akademik kejururawatan sebelum ini.

Setelah mengisi kawasan ataupun sektor yang mempunyai kuantiti jururawat yang kritikal, kementerian kesihatan dengan nasihat bahagian kejururawatan bersama-sama membangunkan jawatan-jawatan yang lebih strategik seperti “Advance Practice Nurse” yang sangat-sangat diperlukan untuk mendaya guna kepakaran jururawat saintis terutama dalam aspek perancangan, penyeliaan dan penilaian praktis perawatan yang dilaksanakan.

Hal ini kerana situasi semasa, berapa ramai jururawat pakar yang mempunyai pengalaman bekerja dan kelayakan akademik yang tinggi (doktor falsafah) akhirnya menyertai bidang akademik kerana tiada perjawatan yang sesuai dan tersedia dalam bahagian perkhidmatan klinikal. Bukankah ini suatu pembaziran kepakaran yang dikumpul dari puluhan tahun pengalaman disertai kemahiran intelektual?

Begitu juga dilema tiada penghujung buat graduan sarjana muda kejururawatan. Nasib mereka untuk mendapat posisi kerjaya yang sepadan dengan kelayakan akademik mereka masih belum betul-betul terjamin. Akhirnya sekiranya mereka ingin tetap berada dalam profesion ini, mereka perlu menerima tawaran bekerja dengan kadar gaji diploma – yang sudah tentu tidak setimpal dengan liku intelektual yang mereka hadapi semasa bergelar pelajar.

Adapun yang tidak sanggup untuk menghadapi situasi ini, mereka berhijrah ke luar negara seperti Singapura dan negara Arab yang menawarkan gaji yang berkali ganda lebih lumayan. Sekali lagi kita rugi apabila kepakaran ini menabur bakti di negara lain.

Sekiranya jururawat yang berkhidmat dalam sektor kesihatan mempunyai pendidikan paling kurang sarjana muda, sudah tentu mereka memiliki kemahiran asas untuk mengendalikan kajian penyelidikan memandangkan suasana praktis bersandarkan bukti ataupun “evidence-based practice” kian menjadi dalil dalam penentuan keputusan.

Apatah lagi sekiranya jururawat memiliki kelayakan sarjana ataupun doktor falsafah (PhD), sudah tentu mereka lebih berkelayakan dan kompeten untuk memimpin dan berkolaborasi dengan profesion yang lain; kerana jururawat mempunyai ciri unik yang berdiri sendiri dalam perkhidmatan mereka iaitu penyayang dan mengambil berat ataupun yang biasa disebut sebagai “caring”.

Kita boleh perhatikan, siapakah yang lebih prihatin kepada masyarakat awam dalam penjagaan ibu-ibu selepas bersalin? Siapakah yang lebih hampir kepada masyarakat dalam hal ehwal kesihatan mental dalam komuniti? Siapakah yang lebih mesra menyapa masyarakat untuk memberi pendidikan kesihatan berkaitan diet yang sihat, perancangan keluarga, sistem sanitari dan vaksinasi? Sudah semestinya mereka yang bergelar jururawat.

Mereka selayaknya digalakkan dan diberikan peluang yang lebih besar untuk mempelajari prinsip asas melakukan kajian saintifif, reflektif berkesan, perancangan berasaskan model, asas statistik, bahkan kepimpinan kejururawatan. Betapa besarnya lagi peluang dan ruang untuk profesion ini berkembang agar setanding dengan kerjaya yang lain.

Jururawat bukan sahaja seorang perawat dalam sektor klinikal walaupun peranan itu tidak dinafikan amat penting. Mereka juga perlu mengisi posisi sebagai penyelidik, saintis dan “innovator” dalam bidang kesihatan. Jururawat saintis aktif melakukan penyelidikan, keberkesanan perawatan dan teknologi perubatan yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti hidup pesakit dan kesannya terhadap bidang kesihatan di masa depan. Apa yang menyedihkan, rata-rata kemahiran penyelidikan mereka terhenti selepas mereka menamatkan projek penyelidikan mereka semasa belajar.

Anjakan dan perubahan ini amat sukar sekiranya kerangka hala tuju profesion ini tidak jelas dan pemimpinnya tidak mampu membawa arus transformasi dengan menyeluruh. Kelestarian pembangunan kejururawatan amat bergantung kepada pemimpin dan pembuat keputusan yang mampu berfikir secara terbuka, progresif dan berdaya saing. Kita berharap para jururawat juga tidak berputus asa untuk sentiasa meningkatkan kompetensi diri dan tahap intelektual – setidak-tidaknya profesion ini bersedia dengan modal insannya sekiranya berlaku perubahan suatu hari nanti.

Apabila kita mengenang kembali kemunculan kerjaya mulia ini pada hari jururawat, sepatutnya kita boleh mengorak hala tuju untuk lebih maju ke hadapan.

Selamat Hari Jururawat 2020.

“Nurses: A Voice to Lead: A Vision for Future Healthcare”

Mohammed Rasheedan Ellin
Ketua Sektor Kejururawatan
Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan (I-Medik)

 

Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on whatsapp