IMEDIK

MEMBANGUN TAMADUN PERUBATAN ISLAM

Gender Identity Disorder

Keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 7 November baru-baru ini yang memutuskan bahawa Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 yang memperuntukkan hukuman ke atas lelaki Islam berpakaian wanita bercanggah dengan perlembagaan dan terbatal telah mencetuskan pelbagai polemik dari pelbagai sudut. Pelbagai reaksi diterima berhubung kesan langsung dan tidak langsung keputusan tersebut kepada golongan terbabit dan masyarakat secara umumnya.

08hm017aa_transformed

Pelbagai pihak termasuk pihak berwajib, ahli politik, agamawan dan pakar perundangan telah memberikan padangan dari ruang lingkup bidang masing-masing. Apa yang menarik, pandangan masyarakat turut terarah kepada alasan penghakiman dan hujahan perayu yang menyentuh secara langsung berhubung masalah perubatan yang dilaporkan dengan diagnosis ‘gender identity disorder’ (GID). Sepertimana yang dilaporkan oleh Astro Awani dan Malaysian Insider, perayu dilaporkan telah didiagnos dengan GID dan telah mengambil rawatan hormon.

Hujah ini sebenarnya membuka ruang kepada perbincangan lanjut bagi melihat isu ini pada konteks yang sewajarnya, terutama dari sudut pandang bidang psikiatri. Artikel ini bertujuan untuk mengajak kita, khususnya umat Islam, supaya memahami istilah ini dan seterusnya membuat penilaian berdasarkan akal dan ilmu yang benar. Ini perlu supaya masyarakat tidak tersalah faham dan menjadikan isu GID ini sebagai ‘blank cheque’ untuk sesetengah golongan mengambil kesempatan menyalahgunakan bidang perubatan untuk menjustifikasi tindakan yang dianggap luar batasan norma kehidupan manusia.

Apabila berbicara tentang diagnosis ini dan implikasinya kepada masyarakat, ada tiga persoalan asas yang perlu difahami secara umum.

  1. Apakah sebenarnya kriteria dan indikasi diagnosis ini?
  2. Adakah ia tergolong dalam masalah mental?
  3. Sekiranya ia dikategorikan sebagai masalah perubatan, bagaimanakah kesannya terhadap perilaku mereka yang bertentangan dengan undang-undang?

16629022-abstract-word-cloud-for-gender-identity-disorder-with-related-tags-and-terms

Apakah kriteria dan indikasi diagnosis ini?

GID merupakan istilah yang digunakan bagi merujuk kepada salah satu penyakit mental dalam Diagnostic and Statistical Manual for Mental Disorder (DSM IV-TR). Manual yang dihasilkan oleh American Psychiatric Association (APA) ini adalah sistem yang digunapakai oleh para doktor bagi mengklasifikasikan penyakit mental. Istilah ini kini dikenali sebagai Gender Dysphoria (GD) setelah manual ini dikemaskini di dalam versi terkininya, DSM 5.

Secara umumnya, GD merujuk kepada kecelaruan identiti seseorang terhadap jantina kelahirannya (natal gender). Kecelaruan ini melibatkan aspek afektif (emosi) dan kognitif (pemikiran) individu tersebut. Ini bermakna, sebagai contoh, seseorang yang dilahirkan dengan biologi lelaki merasa celaru dengan identiti tersebut dan merasa terganggu (distressed) dari sudut perasaan dan fikiran. Kecelaruan ini diterjemahkan samaada dalam bentuk meniru perilaku, pemakaian dan sifat jantina berlawanan atau perasaan kuat ingin menyembunyikan tanda-tanda biologi tubuh badan yang menunjukkan jantina asalnya. Ianya terbahagi kepada GD yang wujud sejak dari fasa kanak-kanak dan juga yang wujud pada fasa remaja dan dewasa.

Perlu ditekankan bahawa, di dalam DSM 5, istilah dysphoria digunakan bagi menggantikan identity disorder bagi menekankan bahawa diagnosis ini bukan sekadar melibatkan isu kecelaruan identiti, tetapi komponen penting dalam diagnosis ini ialah gangguan atau ketidakselesaan (distress) yang wujud akibat kecelaruan ini. Ini sekaligus menekankan bahawa untuk didiagnos dengan GD, aspek penilaian klinikal oleh pakar berkaitan adalah mustahak dalam menentukan tahap distress yang disebabkan oleh kecelaruan identity ini, seterusnya menentukan bahawa seseorang individu itu memenuhi kriteria atau tidak.

Adakah sesiapa yang cenderung dengan perwatakan dan perilaku jantina berlainan adalah dianggap mengalami GID/GD?

Ini adalah persepsi yang salah dan seterusnya boleh memberikan kesan kepada kelompok tertentu dalam masyarakat. Menyedari implikasi diagnosis ini, DSM 5 menggariskan beberapa titik penting untuk sebagai rujukan.

  1. GD tidak boleh disamakan dengan non conformity to gender role. Istilah ini merujuk kepada individu yang mempunyai kecenderungan peribadi untuk berperwatakan dan perilaku jantina berlainan. Sebagai contoh, seorang yang dilahirkan lelaki, akibat persekitaran menjadi cenderung untuk berperwatakan lembut, berpakaian seperti wanita, minat dengan aktiviti yang kebiasaannya didominasi oleh wanita dan bergaul dengan golongan yang wanita. Terutama apabila dalam keadaan biasa dia tidak mempunyai masalah dengan organ lelaki dan menerima hakikat bahawa dia dilahirkan sebagai seorang lelaki.
  2. Ini selari dengan prinsip kewujudan diagnosis ini seperti yang ditekankan: “The diagnosis is not meant to merely describe nonconformity to stereotypical gender role behavior (e.g., “tomboyism” in girls, “girly-boy” behavior in boys, occasional cross-dressing in adult men) (DSM 5,  p.457)
  3. Dalam hal ini, berperwatakan wanita adalah dianggap sebagai ‘lifestyle choice’ individu terbabit.
  4. Fakta ini penting untuk diambil kira bagi menyelakkan sesetengah golongan dengan mudah menggunakan hujah GD sebagai banteng menjustifikasi perilaku mereka.

tumblr_n1flsr03jl1rfwfq9o1_400

Adakah GD merupakan sejenis penyakit mental?

Satu fakta yang perlu diambil kira adalah, biarpun DSM5 dianggap manual standard dalam mendiagnos penyakit mental, ia tidak terlepas dari kritikan. National Institute of Mental Health (Amerika), misalnya dengan jelas menyatakan pendirian bahawa sebahagian diagnosis di dalam manual ini bersifat “unscientific” sekaligus mempersoalkan validity dan reliability(indicator statistic bagi kebolehpercayaan) mereka (Lane, 2013).

dsm52

Oleh kerana penyakit mental berhubung rapat dengan perilaku dan gaya hidup manusia, faktor ini seharusnya diambil kira dalam menentukan sesuatu diagnosis. Antara fokus lain kepada pertikaian ini ialah bias yang wujud dari aspek budaya dan agama. Sebahagian pakar dalam bidang ini seperti Carl Bell dan Marcello Maviglia mendakwa perbezaan budaya dan etnik seringkali diabaikan dalam mengambilkira kriteria diagnosis penyakit mental (Shankar, 2005). Oleh kerana itu tidak menghairankan diagnosis ‘homoseksuality’ telah dibuang dari senarai penyakit mental dalam DSM selepas 1974 berikutan tekanan dari golongan ini di Barat.

Oleh kerana itulah diagnosis GD ini seringkali menjadi subjek perdebatan dikalangan pakar berhubung kesahihannya sebagai salah satu diagnosis. Bagi mereka yang berminat mendalami isu ini boleh meneliti kajian mendalam oleh Kate Richmond (2005) bertajuk “Gender Identity Disorder: Concerns and Controversy”.

Kajian saintifik oleh Profesor psikologi Unversity Quebec, Nancy Bartlett (2000) telah meneliti keabsahan GID sebagai mental disorder telah menyimpulkan bahawa GID secara umumnya tidak memenuhi kriteria penyakit mental seperti yang digariskan oleh DSM sendiri. Menurut beliau lagi, masalah diagnosis ini juga adalah disebabkan tidak wujud perbezaan jelas diantara kecelaruan jantina akibat masakah biologi (seperti masalah hormon) dan kecelaruan identiti semata-mata.

Satu lagi fakta menarik yang perlu diambil kira ialah, dalam kontek barat, golongan yang mengalami masalah ini, terutamanya dikalangan transgender, tidak menerima apabila dianggap masalah mereka adalah disebabkan oleh penyakit mental. Ini kerana stigma yang datang dengan klasifikasi ini. Fakta ini diakui sendiri oleh APA, “Part of removing stigma is about choosing the right words. Replacing “disorder” with “dysphoria”...”(APA, Factsheet on Gender Dysphoria, 2013). Mengambil kira fakta ini, adalah pelik sekiranya ada pihak yang mengaku dari golongan ini dan dengan bangga menggunakan alasan penyakit mental sebagai justifikasi.

APA juga dengan jelas mengakui antara sebab kewujudan diagnosis ini adalah bagi membolehkan mereka yang ingin melakukan pembedahan jantina mendapatkan pampasan insurance. Ini dengan jelas boleh dinilai melalui statement mereka, “To get insurance coverage for the medical treatments, individuals need a diagnosis. The Sexual and Gender Identity Disorders Work Group was concerned that removing the condition as a psychiatric diagnosis—as some had suggested—would jeopardize access to care.” (APA, Factsheet on Gender Dysphoria, 2013).

Oleh yang demikian, adalah penting untuk masyarakat, khususnya yang terlibat secara langsung dalam bidang ini mengambil kira faktor-faktor di atas sebelum membuat sebarang kesimpulan umum. Di sana terdapat keperluan mendesak bagi pakar-pakar dalam bidang ini, terutamanya di kalangan umat Islam untuk membuat kajian lanjut dari sudut pandang Islam dan budaya tempatan dan mendalami implikasi diagnosis ini, terutama kepada umat Islam.

Sekiranya ia dikategorikan sebagai masalah perubatan, bagaimanakah kesannya terhadap perilaku mereka yang bertentangan dengan undang-undang?

Ini merupakan persoalan yang harus diberi perhatian serius oleh semua pihak, terutama pakar-pakar yang berkaitan. Ini kerana, implikasi besar terhadap masyarakat secara umumnya.

Oleh kerana masalah mental berkaitan dengan perilaku manusia. Ianya tidak dapat terpisah dengan undang-undang. Undang-undang menentukan sesuatu perbuatan itu sah atau tidak. Dalam hal berkaitan psikiatri, ada kalanya perbuatan seseorang wujud akibat manifestasi penyakit mentalnya. Sebagai contoh, sesorang yang mengalami psikosis mungkin menyebabkannya mengamuk dan menyebabkan kecederaan kepada individu lain. Dalam hal ini mahkamah perlu mengambil kira Penal Code 84 di dalam undang-undang Malaysia sebagai rujukan.

  1. Nothing is an offence which is done by a person who, at the time of doing it, by reason of unsoundness of mind, is incapable of knowing the nature of the act, or that he is doing what is either wrong in law or contrary to law.

hakim

Dalam hal ini, mahkamah, dengan nasihat dari pakar psikiatri forensik, perlu menentukan samaada tertuduh boleh disabitkan kesalahan atau tidak, mengambil kira keadaan mental pesakit. Seseorang mungkin mempunyai diagnosis penyakit mental seperti skizofrenia, tetapi mahkamah masih boleh menjatuhkan hukuman sekiranya ia berpendapat bahawa tertuduh mengetahui hakikat perbuatannya itu menyalahi undang-undang. Ini bermakna, tidak bermaksud seseorang yang mengalami masalah mental tidak akan didakwa sekiranya mereka melakukan ssesuatu kesalahan, atas alasan ‘penyakit mental’.

Penal code 84 mungkin tidak terpakai dalam kes rayuan ini, namun ia memberi gambaran kepada kita bahawa undang-undang perlu dilihat berdasarkan prinsip-prinsip tertentu. Ini penting bagi menyelakkan persepsi bahawa apabila seseorang itu mempunyai diagnosis penyakit mental, maka dia akan kebal dari sudut undang-undang.

Sebagai contoh mudah, paedophilia, iaitu kecenderungan seksual songsang terhadap kanak-kanak, juga terdapat di dalam diagnosis penyakit mental di dalam DSM5. Namun ia tidak bermakna seorang pedofil boleh menggunakan alasan ‘penyakit mental’ apabila didakwa atas tuduhan mencabul kanak-kanak. Analogi ini perlu dipertimbangkan dalam kontek mengapa trangender tidak boleh dengan mudah melanggar peraturan undang-undang, seperti etika berpakaian, dengan alasan GD/GID.

Kesimpulan

Artikel ini tidak berniat menganggu perbicaraan yang berkaitan. Ia sekadar lontaran ilmiah bersandarkan sumber-sumber semasa dari bidang psikiatri supaya masyarakat memahami isu ini dengan tepat. Diagnosis GD/GID sewajarnya dibuat oleh pakar yang berkaitan dengan mengambil kira pelbagai faktor. Ia bukan satu diagnosis yang dengan mudah boleh didakwa oleh sesiapa dan seterusnya disalahguna atas kepentingan nafsu dan agenda-agenda sonsang sesetengah pihak.

Bagi mereka yang mengalami masalah ini, wajar mendapatkan penilaian pakar psikiatri dan mendapatkan rawatan berkaitan. Sebagai seorang muslim, mereka yang terlibat tidak boleh memisahkan pandangan Islam berkaitan isu ini dan perlu mengambil kira hukum syariah dalam bertindak. Bahkan dari sudut rawatan, kaedah perawatan holisticbiopsychosocial juga turut mengiktiraf agama sebagai sebahagian daripada komponen penting kesihatan mental.

 

Nizam

Dr Rozanizam Bin Zakaria
MBBS  (Adelaide)
Pegawai Perubatan Sarjana Psikiatri dan Pensyarah Pelatih Psikiatri IIUM
AJK I-Medik Kelantan

Leave a Reply