MENU

Comments (0) Kolumnis, Utama

Kemurungan dan Masalah Kesihatan Mental: Jangan Tunggu Sehingga Anda Jadi Sebahagian Statistik

Lambakan berita pembunuhan, bunuh diri dan kes-kes tragis melibatkan isu kesihatan mental sepanjang 2015 seharusnya memberi signal kepada kita semua akan kepentingan melihat isu kesihatan mental sebagai isu perdana. Masyarakat pada setiap lapisan harus lebih terbuka membicarakan isu ini dan tidak menganggapnya sebagai kes-kes terpencil. Keseriusan sesetengah kes, terutama yang melibatkan kehilangan nyawa seharusnya memberi isyarat yang jelas untuk semua pihak bertindak.

Statistik Menggambarkan Keseriusan

Menurut Soal Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2011, 12 peratus daripada rakyat Malaysia berusia di antara 18 ke 60 tahun mengalami gangguan kesihatan mental. Daripada peratusan ini, paling ramai menghidap kemurungan (2%) di ikuti dengan kerisauan (1.8%) dan gangguan psikosis (1%). Wanita didapati tiga kali ganda lebih berisiko berbanding lelaki.

Apa yang turut merisaukan ialah peningkatan kes bunuh diri di negara ini dengan 60 kes setiap bulan seperti yang dilaporkan oleh National Suicide Registry. Ini tidak termasuk kes-kes percubaan bunuh diri, kes-kes yang tidak didaftarkan  atau tidak dapat disahkan sebagai bunuh diri.

Bagi golongan remaja dan kanak-kanak, peningkatan statistik kes yang mengalami gangguan kesihatan mental juga menunjukkan pola peningkatan yang merisaukan. Daripada kadar 16 peratus pada tahun 1996, perangkaan terkini menunjukkan peningkatan kepada 20 peratus pada tahun 2011.
Hasil-hasil kajian ini seharusnya mengikis mentaliti masyarakat yang memandang sinis kepentingan kesihatan mental. Lebih teruk lagi jika isu stigma, malu, prejudis, diskriminasi terhadap pesakit dan keluarga masih lagi menjadi isu yang belum selesai.

Kemurungan

Antara penyakit mental yang banyak berlaku tetapi kurang mendapat perhatian ialah kemurungan. Pertubuhan kesihatan dunia (WHO) meletakkan kemurungan (Major Depressive Disorder) ditangga ke-empat dalam senarai penyakit yang menyebabkan bebanan kepada dunia. Dalam tempoh 50 tahun lagi, ia dijangka mengambil tempat yang lebih utama berbanding penyakit-penyakit fizikal yang lain.

Kemurungan sering disalah ertikan sebagai bersedih. Maka, mereka yang mengalami kemurungan disalah anggap dengan konotasi yang negatif seperti tidak pandai mengurus emosi, lemah dan mudah putus asa. Ini bertentangan sama sekali dengan hakikat sebenar kemurungan. Ia merupakan suatu penyakit yang mempunyai asas biologi yang terbukti jelas. Perubahan emosi seperti kemurungan, hilang semangat, putus asa merupakan hanya sebahagian gejala-gejala yang sebenarnya merupakan manifestasi perubahan kimia dalam otak, perubahan hormon dan pelbagai perubahan fizikal yang berlaku pada tubuh badan.

Kemurungan menyebabkan gangguan fikiran, gangguan fungsi tubuh seperti tidur, selera makan, tenaga, seksual dan pada keadaan yang teruk boleh menyebabkan hilang pertimbangan rasional.

Kajian terkini oleh Universiti Malaya menunjukkan kadar kemurungan di kalangan rakyat Malaysia ialah di antara 8 hingga 12 peratus (Ng, 2014). Di antara mereka yang berisiko tinggi ialah wanita dari kalangan sosioekonomi yang mencabar serta mereka yang mempunyai masalah kesihatan fizikal yang lain.

Sementara itu, kajian oleh Kementerian Sains dan Teknologi Malaysia pada tahun 2014 mengenal pasti beberapa risiko lain seperti kerisauan, masalah di tempat kerja yang serius, masalah keluarga, keganasan rumahtangga, personaliti yang kurang keyakinan diri, masalah kewangan dan penyakit kronik (Maideen, 2014).

Kemurungan yang tidak dirawat bukan sekadar memberi kesan kepada individu tetapi turut memberi kesan kepada ahli keluarga, kerjaya dan masa depan. Sebagai contoh, ibu yang mengalami gangguan kemurungan pada fasa selepas bersalin akan memberi impak kepada bayi dan mengakibatkan bayi terdedah kepada risiko keselamatan serta risiko mendapat gangguan mental di masa hadapan.

Pengesanan Awal dan Rawatan

Kemurungan bukan penyakit berjangkit mahupun penyakit terminal. Pelbagai bentuk rawatan boleh diberikan kepada pesakit mengikut tahap dan peringkat penyakit.

Pada tahap ringan, sokongan dan terapi psikososial mampu memberi impak kepada pesakit. Namun pada tahap sederhana atau berat, rawatan dalam bentuk ubatan serta terapi khusus diperlukan. Penyakit ini boleh sembuh dan pesakit mampu kembali bekerja dalam keadaan penyakit terkawal.

Apa yang penting adalah pengesanan awal dan rawatan serta sokongan berterusan dari doktor, keluarga, majikan dan rakan sekerja.

Jika anda sendiri, ahli keluarga atau rakan-rakan  mengalami sebarang masalah berkaitan dengan kemurungan atau mula menunjukkan tanda-tanda kemurungan, dapatkan penilaian di klinik-klinik kesihatan atau hospital berdekatan. Pada peringkat awal, doktor akan membuat saringan pengesahan serta memastikan masalah tersebut bukan disebabkan oleh penyakit fizikal yang lain seperti jangkitan kuman, masalah hormon dan sebagainya. Sekiranya perlu, beberapa ujian akan dilakukan oleh doktor. Sekiranya disahkan masalah tersebut melibatkan kemurungan, anda akan di rujuk ke perkhidmatan pakar psikiatri berdekatan untuk rawatan susulan. Terdapat juga perkhidmatan psikiatri swasta di sesetengah kawasan.

Jika masalah tersebut serius dan melibatkan keselamatan, seperti cubaan mencederakan diri, rawatan segera harus diperolehi dari hospital berdekatan secepat mungkin.

Pencegahan

Biarpun bukan semua kes kemurungan bermula dengan punca stress yang spesifik, namun menangani stress dan konflik dari awal merupakan langkah pencegahan yang efektif. Setiap individu harus mengenalpasti punca stress masing-masing dan mengenalpasti kaedah terbaik menanganinya.

Adakah pegangan agama meberi sebarang impak kepada kemurungan? Kajian oleh Miller et al (2010) selama 10 tahun mendapati pegangan agama merupakan faktor pelindung yang kuat bagi mengelakkan seseorang mengalami kemurungan. Kajian oleh Zuraida et al (2007) dan Abu Talib (2015) juga mendapati pegangan agama sebagai antara faktor pelindung kepada keinginan membunuh diri.

Kajian-kajian ini tidak bermaksud mereka yang mengalami kemurungan adalah kerana kurangnya pegangan agama. Namun titik penting yang perlu difahami ialah memiliki kekuatan rohani dan spiritual, dalam kontek agama merupakan asas penting dalam meningkatkan daya tahan individu dari kemurungan.

Ini lebih relevan terutama dalam kes yang melibatkan punca stress yang spesifik seperti masalah peribadi, percintaan, rumahtangga dan kewangan. Dalam hal-hal seperti ini, penyelesaian dari perspektif agama perlu bagi memastikan seseorang tidak mudah putus asa dan melihat krisis yang dialamai dalam perspektif buruk semata-mata.

Kesimpulan

Adalah menjadi tanggungjawab semua pihak bagi memastikan tidak ada lagi kes-kes melibatkan nyawa yang berkait dengan kesihatan mental. Pencegahan awal penting bagi memastikan kemurungan dan masalah mental yang lain dapat dikenal pasti dari awal. Mereka yang mengalami masalah ini harus menolak ketepi keegoaan atau stigma masyarakat demi memastikan yang terbaik buat diri anda dan keluarga. Dapatkan penilaian dan rawatan segera sebelum terlambat.

Dr Rozanizam Zakaria,

AJK I-Medik Kelantan

Pegawai Perubatan Sarjana Psikiatri HUSM

Leave a Reply