MENU

Comments (0) Kolumnis

Sebelum Dan Selepas Ramadhan Tetap Sama?

RAMADHAN

Ucapan dan doa yang biasa kita dengar iaitu ucapan kesyukuran kerana diizin oleh Allah SWT berada di dalam bulan Ramadhan pada tahun ini, dan berharap akan bertemu lagi pada Ramadhan akan datang. Tetapi apakah rasa syukur ini di iringi dengan perbuatan atau sekadar keindahan kata-kata sahaja?

Sepatutnya di antara bukti kesyukuran ialah semakin ditingkatkan amalan pada sepuluh hari terakhir. Namun di Malaysia, beriktikaf di dalam masjid dan membaca Al Quran tidak menjadi budaya setiap kali datangnya Ramadhan.

Kisah beberapa keluarga orang Arab yang berkerja di Malaysia, di mana setiap kali datangnya bulan Ramadhan mereka akan mengambil cuti panjang untuk menyambut Ramadhan di Negara masing-masing. Alasan mereka ialah  bulan Ramadhan di Negara mereka adalah bulan pesta rohani atau pesta beribadah, sebaliknya di Malaysia suasana itu tidak wujud.

Di kebanyakan Negara Arab setiap kali menjelang berbuka puasa, bukan sahaja di sekitar masjid tetapi di tepi jalan raya didirikan khemah-khemah untuk mengagihkan secara percuma makanan berbuka. Sebaliknya di negara kita tidak terkira banyaknya khemah di bazaar Ramadhan dan pesta makanan ini sudah lama menjadi  pemandangan biasa . Orang Arab ini mengeluarkan wang untuk mencari pahala, tetapi orang kita mengumpul wang lebih untuk beraya!

Semua orang maklum, pada sepuluh malam terakhir, masjid/surau di negara kita semakin lenggang, sebaliknya di Negara Arab masjid semakin penuh. Rumah mereka di terangi lampu sejak malam pertama Ramadhan, manakala orang kita rumahnya malap sepanjang Ramadhan, tetapi bergermalapan pada malam raya. Ucapan ‘ Ramadhan karem’ merupakan ucapan yang sering diucapkan oleh orang Arab, dan banyak terdapat kumpulan tadarus, sebaliknya di  negara kita pula, hanya AJK dan orang ‘kaki masjid’ sahaja yang bertadarus!

Media elektronik dan cetak di negara kita TIDAK MESRA RAMADHAN, di mana bahan hiburan masih seperti biasa dan rancangan agama sekadar tempelan sahaja. Orang kita masih lagi setia di hadapan televisyen, membaca bacaan ‘rojak’ dan telinga masih suka mendengar lagu-lagu yang melalai, malah lagu-lagu raya yang bertalu-talu didendangkan sehingga membuatkan emosi semakin teruja menyambut adil fitri. Sekiranya radio ini memperbanyakan bacaan Al Qur’an, akan ada pertanyaan, “ Ada ke  orang besar yang mati pada hari ini?”.

Ceramah, tazkirah dan khutbah Jumaat tentang lalilatu qadar sentiasa disebut dan diperdengarkan, tetapi masih banyak masjid yang berkunci dan terus sepi.

Ini adalah TREND lama apabila Melayu  layu pada bulan Ramadhan, setelah anak-anak mereka layu dengan dadah, anak luar nikah, corot dalam banyak hal dan pelbagai gejala negatif yang lain. Sekiranya kita mengakui  dengan ‘merangkul dan mengekalkan kejuaraan’ dalam  budaya buruk di kalangan bangsa kita ini  adalah musibah dan bala dari Allah SWT, maka kita juga patut mengakui bahawa ianya juga satu musibah apabila orang kita tidak cenderung untuk mendekatkan diri kepada Allah. Jika pada bulan Ramadhan amalan mereka lesu, apalagi pada bulan-bulan lain. Dan musibah ini akan terus melanda apabila semakin banyak peringatan yang dibuat, mereka TETAP TIDAK BERUBAH. Yakinlah, jika kita kekal dengan gaya beribadah sebegini, maka bala terhadap bangsa kita akan terus kekal. Juga kerana kita bukan bangsa yang secara kolektifnya bersungguh dekat dengan Allah, malah longgar ikatan ukhwahnya.

Kita juga sudah biasa diperingatkan tentang kembali fitrah sebaik tamat ramadhan, tetapi slogan dan ungkapan ini sekadar pemujuk minda dan berlalu begitu sahaja. Jika amalan pada bulan mulia ini sekadar sambil lewa dan tidak berubah dari tahun-tahun sebelumnya, maka sukar mencapai darjah ketaqwaan hakiki.

Pada bulan-bulan lain, pada setiap minggu pada hari Jumaat para khatib menyeru agar kita meningkatkan keimanan dan beramal dengan Islam, tetapi sejauh mana seruan itu benar-benar berkesan dalam jiwa. HIDAYAH ITU UNTUK MEREKA YANG BERUSAHA DAN IKHLAS MEMBUKA JIWA UNTUK MENERIMA HIDAYAH.

Tujuan UTAMA tulisan ini ialah mengajak untuk MEMIKIRKAN DIRI SENDIRI dan MENILAI DIRI serta tidak memberi alasan  orang Melayu juga seperti anda!

Begitu juga kita sudah biasa di peringatkan tentang apakah perubahan yang sepatutnya kita lakukan selepas keluar dari ‘sekolah Ramadhan’ ini!

Beberapa perkara yang sepatutnya kita ubah selepas ramadhan ini ialah:-

  1. Kerap berjemaah di kariah terutama waktu maghrib dan Isyak
  2. Setelah mampu berjemaah maghrib dan isyak, berusaha ISTIQAMAH subuh berjemaah
  3. Menimba ilmu pada kuliah magrib/subuh setelah ikhlas mendengar tazkirah ramadhan.
  4. Membaca Al Qur’an pada setiap hari, dan merancang untuk khatam pada bulan lain
  5. Mengurangkan mendengar radio atau menonton rancangan TV yang tidak berfaedah
  6. Setelah mampu 12 jam tidak merokok, maka mengapa terus ketagih pada bulan lain? Rancang untuk terus berhenti merokok yang sudah diharamkan oleh jumhur ulamak Malaysia sejak 1994 dan ulamak Al Azahar pada 1982 lagi. Iman yang rendah akan berpegang kepada hukum makruh, padahal mengakui bahawa para ulamak adalah penyambung tugas Nabi.
  7. Silaturahim ditingkatkan setelah berbual mesra ketika tarawih dan moreh.
  8. Kepada yang cinta kepada makanan dan berbadan besar, berubahlah kepada berpada pada makan-minum dan berusaha menjadi muslim yang ‘smart’ bentuk tubuh badan dan kecergasannya.

Semoga falsafah Ramadhan tidak d idalam minda atau sebagai teori semata-mata.  Juga semoga kita tidak tergolong dalam maksud hadis Nabi SAW, berpuasa tetapi sekadar lapar dan letih. Jika amalan ibadah dan amal kehidupan sebelum dan selepas Ramadhan TETAP SAMA, maka kita bimbang amalan puasa pada tahun ini tidak bermutu dan rendah nilai pahalanya. Setelah TAHU, maka BERUBAHLAH…..

Leave a Reply