Bolehkah Anak Kecil Berpuasa?

Alhamdulillah Ramadan yang penuh barakah tiba sekali lagi. Berpuasa adalah satu amalan yang bermanfaat bukan sahaja kepada orang dewasa malah kanak-kanak baik dari segi psikologi dan kesihatan. Namun kita perlu sedar berpuasa tidak diwajibkan ke atas kanak-akank yang belum aqil baligh.

Pastinya ada kanak-kanak yang turut teruja mahu cuba berpuasa apabila melihat seluruh ahli keluarga dan ada rakan-rakan mereka yang berpuasa.

Dalam irsyad fatwa khas ramadhan siri ke 163, ada dinyatakan bahawa kanak-kanak belum baliqh tidak diwajibkan berpuasa namun jika seorang kanak-kanak yang telah mumayyiz itu berpuasa , maka hukumnya adalah sah.

Kemudian timbul pula persoalan umur berapakah seorang kanak-kanak itu perlu diajar dan didik berpuasa?

Kesimpulan yang dberikan dalam irsyad fatwa tersebut, ibu bapa atau wali perlu mengajar dan menyuruh anak-anak supaya berpuasa seawal umur tujuh tahun. Jika dilihat dari sudut kesihatan juga, berpuasa tidak menjejaskan proses perkembangan dan pertumbuhan selagi kanak-kanak mendapat makanan berkhasiat dan seimbang sewaktu berbuka dan bersahur.

Bagaimana keseimbangan hidangan boleh dicapai?
Pastikan hidangan sahur dan berbuka berasaskan konsep sihat mengikut pengambilan nutrien yang disyorkan (RNI) iaitu suku karbohidrat, suku protien dan separuh sayuran dan buah-buahan.

Pastikan anak-anak mengambil sahur selewat mungkin sebagai sumber tenaga dari makanan terdiri dari karbohidrat, protient dan juga lemak. Jika tidak mahu mengambil nasi pastikan anak mengambil sumber karbohidrat lain seperti roti, spaghetti, bihun bersama protin dan serat. Lebih cantik jika disulam dengan segelas susu dan kurma sebagai penambah tenaga.

Mungkin ada ibu bapa yang menyangka makanan atau minuman manis membekal tenaga, sebenarnya ia hanya membuat anak-anak teringin manisan itu sewaktu berpuasa dan ia tidak membekalkan banyak tenaga. Sebaiknya berikan makanan yang lambat hadam seperti oats, makanan tinggi fiber, dan bijirin atau beras perang misalnya.

Jika dilihat cadangan usia mula berlatih puasa pada usia 7 tahun, dalam memahami konsep pertumbuhan kanak-kanak, kita dapat lihat, kanak-kanak usia 1-2. tahun, sumber nutrisi dari pemakanan berkhasiat sangat penting dalam tumbesaran.

Usia 2-5tahun pula, nutrisi masih memainkan peranan penting tetapi sudah ada peranan hormon pembesaran yang terlibat.

Selepas usia 5 tahun, hormon pembesaran memainkan peranan penting selain nutrisi

Jadi, sekiranya anak usia 6-7 tahun mahu mula berlatih puasa adalah sesuai namun harus diingat
Islam tidak mewajibkan anak-anak usia ini untuk berpuasa maka ibu ayah perlu beri kelonggaran untuk anak berbuka sekiranya mereka tidak tahan untuk meneruskan puasa tanpa perlu timbul suasana tidak sihat seperti memarahi mengejek, atau mengasingkan kanak-kanak itu.

Ibadah puasa juga merupakan suasana yang sangat baik untuk menjadi fasa latihan untuk anak memilih makanan sihat sewaktu sahur dan berbuka kerana kanak-kanak kecil yang telah merasai pengalaman berpuasa lebih cenderung menghargai makanan.

Elakkan berbuka dengan makanan yang terlalu banyak dan gelojoh, kerana ia mengundang rasa tidak selesa atau kembung pada anak-anak. Jauhkan dari pengambilan minuman bikarbonat dan sebaiknya biasakan anak-anak berbuka dengan kurma kerana kurma dapat membekalkan tenaga dengan segera kerana mengandungi gula ringkas termasuk glukosa, fruktosa, mannosa, rhaminosa dan sukrosa. Penyerapan gula sebagai tenaga oleh tubuh dari kurma boleh berlaku sangat cepat antara 30-45 minit berbanding nasi yang memerlukan sekitar 4 jam untuk dicernakan.

Sebelum tidur boleh galakkan anak mengambil sedikit makanan seperti roti, bijirin dan susu untuk menambah kalori.

Secara kasar, membenarkan anak mencuba untuk berpuasa sebenarnya memberi peluang anak merasa dirinya sebahagian dari pengalaman Ramadhan yang unik namun ia perlu dilakukan dengan santai dan tidak melibatkan tekanan emosi, psikologi atau fizikal kepada anak-anak. Sebaliknya wujudkan suasana positif dan bahagia bersama anak kecil sepanjang Ramadan yang barakah ini.

Dr Anayasmin binti Azmi
Pakar Pediatrik
JKP I-Medik

Leave a Comment