Sokongan Emosi Kepada Pesakit: Tiada Masa atau Tiada Kemahiran, atau…?

Hampir semua insan yang sakit akan terkesan secara psikososial oleh penyakit mereka dan keperihan rawatan yang mereka alami. Memberikan sokongan psikososial kepada pesakit terbukti mengurangkan tekanan dan kesan gejala yang yang dialami mereka, seperti kesakitan. Psikososial secara mudahnya boleh ditakrifkan sebagai gabungan antara keadaan psikologi yang dikaitakan dengan suasana sosial atau persekitaran di mana seseorang individu itu berada.

Jururawat menjadi individu yang paling sesuai untuk memberikan sokongan psikososial kepada pesakit kerana mereka merupakan insan yang paling dekat dengan pesakit semasa mereka berada di hospital. Mereka bukan sahaja mempunyai peluang untuk mengenali pesakit, malah dalam sesetengah keadaan boleh juga menjadi punca kelegaan psikososial pesakit dan keluarga mereka.

Pernahkah anda, jururawat, ditanya oleh ahli keluarga, bilakah ahli keluarga mereka yang sakit itu boleh sembuh atau keluar dari hospital? Atau, dengan penuh perasaan gelisah, mereka bertanya adakah satu-satu rawatan itu menyakitkan? Ini adalah salah satu bentuk penyataan atau persoalan yang memerlukan seorang jururawat perlu bijak mengungkapkan jawapan yang akan memberikan harapan dan perasaan yang positif, bahawa pesakit itu akan sembuh atau melalui berjaya melalui sesuatu rawatan, atau paling tidak mendoakan agar Allah memberikan yang terbaik buatnya.

Pesakit atau ahli keluarga tersebut berkemungkinan sudah mengetahui akan keputusan sesuatu perkara, namun mereka hanya memerlukan seseorang untuk meluahkan perasaan dan bebanan perasaan yang terbungkam dalam jiwa mereka. Pada situasi inilah, seorang jururawat amat berperanan untuk memberikan sokongan emosi dan psikologi kepada pesakit dan keluarganya.

Mereka mungkin tidak sesekali memerlukan wang ringgit, kerana mereka hanya memerlukan ungkapan sokongan, “ya, InshaAllah kita berusaha sebaik mungkin, Allah-lah yang akan menyembuhkan”, ataupun “Allah telah menyusun yang terbaik bagi dia dan kita, saya akan cuba sebaiknya…” sedikit-sebanyak akan memberikan kelegaan psikologi kepada pesakit dan keluarganya.

Walaupun ungkapan ini amat ringkas, namun tidak semua perawat ataupun doktor mampu memberikan “rawatan jiwa” ini kepada pesakit dan keluarga mereka. Berkemungkinan besar disebabkan masa yang terlalu singkat untuk meluangkan komunikasi terapeutik, ataupun disebabkan bebanan kerja yang teramat tinggi.

Saya pernah menyaksikan dalam suatu wad di sebuah hospital yang amat sibuk, hanya ada tiga orang jururawat yang menjaga keseluruhan wad yang mempunyai lebih 30 pesakit tersebut. Belum lagi mengambil kira tugas-tugas pengurusan, audit, tuntutan dan kekangan peribadi. Amat mustahil untuk jururawat tersebut melayani kesemua perasaan pesakit secara ideal, dan seharusnya tidak perlu untuk kita sebagai ahli keluarga pesakit untuk mengharapkan layanan istimewa daripada jururawat. Mereka ada tugasan dari atas dan bawah yang terlalu banyak untuk diselesaikan dalam satu syif.

Amat tidak adil untuk meletakkan semua persediaan ini kepada jururawat. Hal ini kerana tidak mudah untuk jururawat untuk melaksanakannya sekiranya sistem kesihatan juga tidak menyebelahi mereka. Disebabkan sistem yang tidak kondusif ini, jururawat perlu mengutamakan intervensi perubatan yang (yang mungkin mengancam nyawa atau status kritikal pesakit) yang lebih darurat daripada memberikan sokongan emosional pesakit yang mungkin tidak berapa gawat.

Walau bagaimanapun, sekiranya jururawat mempunyai kesempatan (contohnya diletakkan di tempat yang tidak terlalu sibuk), perlu untuk mereka menguasai beberapa kemahiran asas untuk memberikan sokongan psikososial ini.

Dalam perbincangan ini, antaranya adalah mempunyai kemahiran komunikasi dengan baik seperti boleh menerima pendapat dan luahan pesakit tanpa sebarang syak dan sangkaan ataupun stereotaip.

Apabila jururawat mendengar, mereka bukan sahaja membuka telinga mereka, bahkan memberikan maklumbalas yang mengambil kira kerisauan mereka. Perlu ditekankan juga, jururawat perlu mempunyai komunikasi bahasa badan yang baik. Postur tubuh, posisi tangan, pandangan anak mata dan riak wajah amat penting untuk komunikasi yang berkesan.

Dalam Islam, kita faham tugasan kita adalah ibadah. Komunikasi kita kepada insan yang lain, juga sebahagian daripada ibadah kita. Menjadi seorang perawat yang mampu melayani tekanan emosi pesakit dan ahli keluarganya adalah sebahagian daripada intervensi yang melepaskan mereka daripada “kesakitan” mereka.

Sesiapa yang melepaskan saudara mukmin daripada kesusahan di dunia maka Allah akan melepaskan kesusahannya pada hari kiamat. Hadis Riwayat Muslim

Sebagai seorang jururawat, ruang kita untuk membantu insan lain amat terbuka luas. Ada pelbagai cara kita boleh memberi bantuan, bukan setakat wang ringgit namun menjadi pendengar yang baik juga salah satu cara membantu orang lain. Walau bagaimanapun, kami (jururawat) juga harus dibantu. Dengan nisbah jururawat kepada pesakit yang amat besar, mana mungkin jururawat dapat melaksanakan tugas ini dengan sebaiknya.

oleh:

Rohaniza binti Naihi
Jururawat, Ahli I-Medik

Mohammed Rasheedan bin Ellin
Ketua Sektor Kejururawatan, I-Medik

Leave a Comment