GEJALA DADAH (Bahagian 1)

Ibu muda itu datang membawa anaknya yang berumur 1 tahun, dengan aduan demam, batuk dan sesak nafas selama seminggu. Bertanya lanjut hal pemakanan si bayi, si ibu sudah sebulan memberi bayinya “susu” dari bancuhan air bersama krimer pekat manis yang biasa digunakan untuk menyediakan minuman seperti teh tarik. Selain dari berat badan bayi yang berkurangan dari yang sepatutnya dan menunjukkan tanda-tanda malnutrisi, bayi tersebut mengalami jangkitan pernafasan pneumonia yang teruk, dengan bibir kebiruan, yang menyebabkan saya terpaksa merujuknya ke hospital besar segera agar mendapat mendapat rawatan lebih intensif. Si ibu rupanya terpaksa tidak menyusukan anak dengan susu badan kerana beliau bekerja. Ditanya tentang sejarah keluarga, beliau mengakui suaminya seorang penagih dadah dan tidak dapat memberikan nafkah beliau anak-beranak. Suami juga kerap meminta wang dari beliau, yang akhirnya memaksa beliau bekerja kerana kesempitan wang. Anak yang masih kecil itu terpaksa dihantar ke penjaga, dengan bekalan “susu” krimer pekat manis, apabila susu formula biasa sudah kehabisan. Sebelum beliau dan bayinya menaiki ambulan untuk dirujuk ke hospital, saya bergegas ke kedai runcit di hadapan klinik bagi membeli setin susu formula dan diberikan kepada beliau. Saya tahu ia tidak mencukupi, dan keadaan akan kembali seperti asal sebaik beliau dan bayi keluar dari hospital nanti, tetapi itulah yang termampu yang saya lakukan sebagai seorang doktor yang baru ditahun kedua perkhidmatan ketika itu.

Oleh kerana itulah, ketika diundang sebagai salah seorang ahli panel Forum Seminar Antarabangsa Pencegahan Penyalahgunaan Dadah (PREVENT 2016) anjuran Pusat Penyelidikan Dalam Penyalahgunaan Dadah Asia (ACREDA) dan Mahasiswa Sarjana Kaunseling Penyalahgunaan Dadah (SPADA), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bertajuk Adakah Pencegahan Berkesan? , saya mengulangi pendirian, bahawa perang ke atas gejala penagihan dadah ini, baik dari sudut pencegahan, rawatan dan pemulihan dadah perlu diteruskan secara berterusan dan dalam skala yang lebih besar. Pengharaman sebarang bahan yang mempunyai elemen ketagihan perlu sentiasa disokong oleh kerajaan dan semua pihak, walaupun ada gesaan untuk dilonggarkan pengharaman ini demi manfaat pengkomersilan. Impak dadah ke atas faktor sosial, kesihatan penagih dan kesihatan keluarga penagih seperti yang saya gambarkan diawal artikel ini, tidak dapat diukur dengan timbal-balik keuntungan dari pengkomersilan bahan-bahan ketagihan ini.

15578115_717733761715419_4583831449632759193_o

Dadah yang disalahgunakan secara umumnya terbahagi kepada opiate seperti opium, heroin, morfin, kodein; stimulant (dadah perangsang) seperti Amphetamine (pil kuda, yaba), Methamphetamine (syabu, ice), pil ekstasi; depressant (dadah penenang) seperti dormicum, valium, eramin 5; hallucinogen (dadah pengkhayal) seperti LSD, ketamin dan marijuana (kanabis) seperti ganja.

DADAH DAN PELAJAR SEKOLAH

Baru-baru ini Kementerian Pendidikan Malaysia mendedahkan keputusan satu kajian yang melibatkan 35,755 responden merangkumi pelajar tingkatan satu hingga enam yang mendapati 1,457 daripada mereka mengambil dadah. Jumlah ini merupakan 4% daripada jumlah sampel kajian. 74 peratus daripada mereka yang terlibat dengan dadah ini mengambil Methamhetamine, 20 peratus kanabis dan selebihnya dadah jenis lain. Pelajar tingkatan lima mencatat peratusan tertinggi pengambilan dadah iaitu 40.6 peratus, diikuti tingkatan empat (32.5 peratus), tingkatan tiga (19.8 peratus), tingkatan dua (5.4 peratus) dan tingkatan satu (0.08 peratus).

Trend pengambilan dadah dikalangan pelajar ini membimbangkan kita. Disamping sekolah yang bekerjasama dengan AADK memantau gejala ini, didikan dan pemantauan ibubapa kekal sebagai instrumen paling utama. Kajian menunjukkan remaja mengambil dadah stimulant ini akibat faktor dalaman dan faktor luaran.

FAKTOR DALAMAN

Bagi faktor dalaman, remaja mengambil kerana ingin menghilangkan masalah dan rasa kebosanan.

Oleh kerana itu penting bagi ibubapa untuk menjadi tempat anak-anak merujuk permasalahan mereka dan mendengar luahan rasa remaja.

Ibubapa mesti meluangkan masa untuk anak-anak walau sesibuk mana pun mereka. Meluangkan masa tidak semestinya memerlukan percutian keluarga yang mahal. Memadai memastikan ada aktiviti bersama keluarga walaupun hanya dirumah, agar anak-anak rasa diberi perhatian. Selain daripada itu, ibu atau bapa, boleh bergilir keluar dengan setiap anak remaja seorang demi seorang, sekadar temujanji makan bersama contohnya, agar mereka mendapat momen istimewa atau saat privasi mereka bersama ibubapa.

Sudahkah anda membuat temujanji dengan setiap anak anda agar mereka berasa istimewa?

Remaja juga mengambil dadah kerana rasa ingin tahu, tekanan rakan sebaya dimana mereka tidak berani mengatakan tidak kepada pelawaan rakan, tidak mengetahui bahaya dadah dan terpengaruh dengan dakyah rakan-rakan yang mengatakan dadah boleh memberi faedah seperti dapat menurunkan berat badan, bertenaga, lebih berkeyakinan dan sebagainya. Oleh kerana itu, ibubapa harus menekankan aspek jatidiri dengan memperkasakan anak-anak anda dari sudut membentuk mereka kuat dan yakin mempertahankan pendapat mereka bila berhadapan dengan tekanan rakan-rakan.

Bagaimana membentuk kekuatan jatidiri ini? Ibubapa harus terlebih dahulu menanam rasa percaya kepada diri sendiri pada anak-anak, dengan meraikan pendapat mereka, menghormati pandangan anak-anak, mengambil serius lontaran pendapat mereka dan tidak keterlaluan dalam mengkritik pendapat mereka. Membina kepercayaan diri sendiri itu sebenarnya bermula dari rumah. Bagi seorang remaja Muslim, disiplin menunaikan tanggungjawab untuk solat 5 waktu tanpa diperingatkan, misalnya, adalah 1 pembentukan kawalan diri (self-disciplined and self controlled) yang penting agar remaja, dapat menguasai diri sendiri dan tidak mudah mengalah dengan desakan kawan-kawan dan juga pengedar dadah diluar sana.

Kajian oleh Partnership for a Drug-Free America menunjukkan 50% remaja kurang menggunakan dadah jika mereka mengetahui risiko penggunaan dadah dari ibubapa sendiri. Oleh itu, ibubapa perlu berkongsi maklumat dengan anak-anak apakah bahaya dadah.

Apakah bahaya dadah Methamphetamine?

Apakah yang perlu diterangkan kepada anak-anak remaja anda dan apakah tanda-tanda yang perlu anda perhatikan?

Metamphetamine, walaupun digembar-gemburkan sebagai boleh memberi tenaga, akan “menuntut” semula tenaga tersebut selepas tamat aktiviti dadah tersebut di dalam badan. Penagih boleh berjaga sehingga berhari-hari, namun kemudiannya lesu dan tidur pula berhari-hari. Dadah tersebut boleh menyebabkan percakapan berlebihan, rasa kegelisahan dan panik, hiperaktif, penurunan berat badan yang ketara, menjadi agresif, dan perubahan emosi. Selain daripada itu, terdapat penurunan prestasi pelajaran yang mendadak, kerap ponteng sekolah, hilang minat ke atas perkara yang sebelum ini diminati pelajar, kerap bertukar-tukar kawan (biasanya remaja mempunyai sahabat baik yang dipercayai atau kumpulan kawan rapat “click’). Dari sudut psikologi, pelajar boleh mengalami kemurungan dan mempunyai idea untuk mengambil nyawa sendiri atau mencederakan orang lain.

Dipetik dari buku Garis Panduan Pengendalian Penyalahgunaan Stimulan Jenis Amfetamin oleh Kementerian Kesihatan Malaysia:

“ Methamphetamine/methamphetamine chloride juga dikenali dengan nama Speed, Speedball, Meth, Chalk, Syabu, Ice, Crank, Glass, Crystal, Tweak. Kebanyakan dadah jenis ini diproses secara haram di dalam makmal rahsia oleh mereka yang tidak terlatih. Ia juga boleh diklasifikasikan kepada tiga kategori mengikut kualiti ketulinannya. Sebagai contoh, jenis berkualiti tinggi berwarna putih kristal diikuti dengan yang berwarna putih kemerahan dan yang paling rendah kualitinya pula mempunyai rasa yang pahit. Dadah jenis ini digunakan secara “chasing the dragon” atau menggunakan peralatan yang hampir menyerupai penghisap candu.

Ibubapa dengan itu harus cakna tentang barangan yang dimiliki oleh anak-anak, dan bertindak segera sebelum mereka pergi lebih jauh lagi dalam penagihan.

FAKTOR LUARAN

Faktor luar adalah faktor persekitaran, tekanan dari drug pushers atau pengedar dadah juga keldai dadah. Ibubapa perlu mengawasi dengan siapa anak-anak kita berkawan.

Selain daripada itu, dadah kini dijual dalam bentuk yang sama seperti ubat-ubatan lain dalam bentuk pil.

Sebagai contoh dadah dalam kumpulan Methylenedioxyamphetamine atau MDMA, lebih dikenali dengan nama Ecstasy (pil ekstasi), MDM, XTC, E’s, Ease, X, XTC, Eccies, Love Drugs, Hug drug, dan Disco Biscuits adalah lebih kuat daripada bahan kimia induknya iaitu methamphetamine.

Pil ekstasi dijual dalam bentuk tablet kecil atau kapsul berwarna kuning atau putih. Ada juga yang berwarna merah jambu, ungu, biru, berbintik-bintik atau berjalurjalur. Terdapat berbagai-bagai bentuk tablet seperti bentuk hati, dove, robin, rabbit dan champagne bottle.

Penting bagi ibubapa mengawasi pengambilan sesuatu yang kelihatan seperti “ubat” oleh anak-anak.
round_DrRafidah Prof. Madya Dr. Rafidah Hanim binti Mokhtar
Timbalan Dekan Akademik & Penyelidikan,
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Jawatankuasa Pusat I-Medik.

Leave a Comment