I-MEDIK MENYOKONG PENUH USAHA KKM MEMBANTERAS BUDAYA ROKOK DAN VAPE

KUANTAN, 21 NOVEMBER 2015 – ‘Kementerian Kesihatan akan meneruskan segala usaha untuk membenteras rokok dan vape kerana ini adalah ejen tragedi kepada generasi yang lepas, masa kini dan akan datang.’ Begitulah kata-kata yang diungkapkan dengan penuh jelas dan ketegasan oleh Dato’ Dr. Zainal Ariffin Bin Omar, Ketua Pengarah Kesihatan Negeri Pahang selaku salah seorang panel Forum Seminar Bebas Asap Rokok dan Vape; Generasi Kini dan Masa Hadapan.

Seminar ini telah diadakan di Dewan Utama, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Pahang, Beserah Kuantan melibatkan jemputan JKNP kepada pengamal perubatan dan kesihatan kerajaan dan swasta, wakil-wakil NGO Kesihatan sekitar Kuantan dan para belia dari Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/S). I-Medik Pahang telah diwakili oleh Dr Norbaiyah Mohamed Bakrim (Setiausaha I-Medik Pahang).

Encik Wan Emril Nizam Embong, Naib Presiden Majlis Beia Negeri Pahang selaku panel kedua turut menyatakan kebimbangan beliau melihat trend terkini budaya vape yang kian menular di kalangan belia. Jika sebelum ini, rokok agak sinonim dengan lelaki, namun dengan wujudnya vape, golongan belia wanita dan belia yang tidak merokok juga dengan mudah terlibat atas alasan trend dan pengaruh sekitar.

Menurut beliau, rokok dan vape perlu ditolak atas tiga sebab utama:
1. Rokok dan vape membahayakan kesihatan
2. Rokok dan vape adalah pembaziran
3. Rokok dan vape menyebabkan lebih banyak kerosakan kepada diri individu (ketagihan, lebih mudah terdedah kepada penggunaan dadah)

the dark truth behind e-cigarettes

Dato ‘ Dr Zainal Ariffin pula menegaskan walaupun KKM dilihat seolah-olah bersendirian dalam usaha menangani gejala rokok dan vape, beliau yakin usaha ini adalah sangat penting demi masa hadapan generasi muda hari ini. Beliau menyeru seluruh warga KKM, berganding bahu bersama NGO-NGO Kesihatan dan belia untuk turun padang sebagai ejen untuk memberi kefahaman sehingga ke akar umbi akan pentingnya untuk mencegah gejala tidak sihat ini dari terus di normalisasikan dalam masyarakat kita.

I-Medik menyatakan sokongan penuh kepada usaha KKM untuk membanteras rokok dan vape, dan akan terus memainkan peranan aktif dan proaktif dalam mendidik masyarakat untuk menjauhi amalan ini, dan membantu golongan belia yang sudah terjebak untuk berhenti dan berhijrah kepada kehidupan yang lebih sihat dan produktif.

Antara usaha I-Medik adalah memberi ceramah-ceramah Jauhi Rokok dan Vape di sekolah-sekolah dan IPT, serta Kempen Jauhi Rokok dan Vape melalui edaran flyers dan pameran-pameran. I-Medik juga akan mempergiatkan gelombang ‪#‎vapeoff‬ di media-media sosial supaya suara masyarakat yang menolak budaya ini akan lebih terkehadapan.

Laporan oleh,
Dr Norbaiyah Mohamed Bakrim
Setiausaha I-Medik Pahang

Leave a Comment