Adakah Mudah untuk Suntik Air atau Angin, Berbanding Vaksin Covid-19?

Sejak akhir-akhir ini timbul persoalan adakah benar vaksin Covid-19 yang disuntik selama ini, kerana beberapa insiden menunjukkan pemvaksin tidak menekan picagari setelah suntikan dibuat.
Siasatan telah pun dibuat dan insiden itu adalah kes terpencil yang sangat sedikit berlaku dan ia tidak disengajakan atau human error dan mungkin disebabkan hilang fokus atau kepenatan.
Namun timbul pula tuduhan ia boleh jadi sengaja dilakukan di sesetengah tempat kerana vaksin tersebut boleh disimpan dan dijual kepada pihak lain untuk keuntungan.
Sebenarnya ia adalah sangat sukar untuk menipu suntikan atau menyembunyikan vaksin di mana-mana PPV atas beberapa faktor:
  1. Sistem pengurusan Vaksin Covid19 adalah sangat ketat dan teliti. Pembekalan vaksin oleh JKJAV ke pusat penyimpanan vaksin dikawalselia dengan prosedur yang ketat dan dokumentasi yang terperinci. Sebarang kesalahan boleh dikesan dan dipastikan.
  2. Dari awal proses pembekalan, penghantaran, pengagihan sehingga penyuntikan vaksin dicatat dengan terperinci dan melibatkan beberapa individu. Malah setiap vaksin ada kod batch tersendiri dan perlu diimbas dengan MySejahtera oleh setiap orang yang dicucuk. Anda boleh tengok nombor batch dan tarikh luput pada sijil vaksin masing-masing.
  3. Setiap batch vial vaksin dibekalkan dengan kad vaksin tersendiri mengikut jumlah yang boleh dicucuk, jadi tidak sepatutnya berlaku lebihan kad vaksin selepas semua vaksin pada hari tersebut dicucuk. Malah apabila ia berlaku PPV terpaksa memeriksa semula catatan dan kiraan vial sebenar untuk memastikan punca lebihan kad yang mana ada peserta vaksin sendiri terus pulang tanpa pengesahan status di MySejahtera! Bayangkan ribuan kertas perlu diperiksa setiap hari!
  4. Secara asasnya adalah tidak logik penipuan suntikan vaksin boleh dibuat atas alasan vaksin sebenarnya disimpan untuk dijual kerana rekod cucuk dan sistem pengesahan vaksin di kad dan MySejahtera mestilah selari. Sebarang penyorokan dan penipuan boleh dikesan.
  5. Petugas-petugas kesihatan bekerja dengan etika perubatan yang tinggi. Mereka telah bersumpah untuk hanya memberikan perkhidmatan terbaik dengan prinsip etika “beneficence and non-maleficence” iaitu hanya melakukan perkara yang memberi manfaat dan tidak akan menyebabkan kecederaan atau harm ke atas pesakit yang sia-sia.

 

Justeru, adakah logik sepasukan perubatan dan kesihatan boleh sepakat menipu dan menyorok vaksin?

Penambahbaikan telahpun dibuat malah ianya adalah prosedur standard yang telah diamalkan selama ini cuma perlu penekanan baharu. Nanti jangan ada yang pengsan melihat jarum pula!
Yang Berkhidmat,
Dr. Mohd Ihsanuddin Abas
Ketua Unit Kesihatan Awam, I-Medik
Petugas Perubatan PPV

Leave a Comment